IMPIAN Wincci tercapai.
IMPIAN Wincci tercapai.
MENCURAHKAN semua kemampuan yang ada pada konsert sulungnya.
MENCURAHKAN semua kemampuan yang ada pada konsert sulungnya.
IMPIAN Wincci tercapai.
IMPIAN Wincci tercapai.
SEMPAT beramah mesra dengan penonton selepas konsert.
SEMPAT beramah mesra dengan penonton selepas konsert.
Oleh Georgie Joseph


Tujuh tahun menyimpan hasrat mengadakan konsert bukanlah penantian sekejap buat penyanyi jelita, Soo Wincci. Sepanjang tempoh itu, pelbagai kemunginan boleh berlaku termasuk kebarangkalian berputus asa.

Namun berkat kesabaran dan semangat yang tidak pernah padam, penyanyi berusia 30 tahun itu akhirnya berjaya merealisasikan hajat terbabit Sabtu lalu. Tampil dengan konsert sulung, Soo Wincci Simply Inwincciable Live in Kuala Lumpur, ternyata dia puas.

Bertempat di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Wincci mencurahkan segala keinginannya dalam konsert itu.

Segala-galanya tampak gah dan paling mengagumkan apabila dia melakukan pelbagai aksi lasak yang tidak mungkin orang lain rela buat. Bahkan, untuk tarian sutera udara Wincci beraksi tanpa bantuan alat keselamatan.

Akui bekas Miss World Malaysia 2008 itu, pada mulanya hasratnya untuk beraksi lasak dalam konsert berkenaan mendapat tentangan pelbagai pihak. Namun dia nekad meneruskan keinginan itu kerana mahu konsert itu menjadi kenangan terindah buat dirinya dan peminat.

“Hampir semua orang mengatakan saya terlalu bercita-cita tinggi dan gelojoh mahu melakukan itu ini padahal ia baru konsert pertama.

“Apapun kata-kata itu tidak melemahkan semangat saya kerana sudah lama menantikan peluang keemasan ini.

“Tidak dinafikan melakukan aksi lasak terbabit berisiko tinggi dan sebab itulah saya berlatih selama lima tahun.

“Saya hanya mahu tonjolkan kemampuan diri dan memastikan konsert ini berbaloi buat peminat,” katanya.

Wincci mengakui lega apabila konsert itu berjaya dan mendapat pujian penonton.

“Persiapan dilakukan sejak setahun lalu dan paling saya risau adalah aksi lasak dalam tarian sutera udara. Berbekalkan latihan yang cukup, saya rasa sangat bersemangat melakukannya.

“Sepanjang latihan ada jugalah cedera dan kesan lebam pada badan, tetapi ia sama sekali tak buat saya serik.

“Penantian selama tujuh tahun berbaloi apabila konsert ini berjaya. Saya sempat bertemu dan beramah mesra dengan penonton serta rakan artis yang hadir. Pujian mereka buat saya terharu,” katanya.

Menerusi konsert itu Wincci tidak bersendirian apabila beberapa artis jemputan turut menghiburkan penonton.

Antara lagu yang dipersembahkan adalah Someone Like Me, I’ll be Alright, My Time, medley Cant Get You Outta My Head, Hi, The Whisperer dan Don’t you Wanna Know serta medley First Love, Bukan Cinta Biasa, My Pride, Hope dan Conquer. Selain itu dia turut berduet dengan Winson Voo menerusi lagu 4 Minutes.

Wincci turut mengalunkan lagu Don’t Mention It, Happiness, Love is Near, If You Still Can’t Let Go, One Million, medley Endless Happiness dan Sweet Sweet Love (duet bersama Gary Yap), medley In My Heart, Beauty With A Purpose, Loneliness Receipt, Musim Asmara dan Beauty With A Purpose serta medley Dawn, Berdua Sahaja, Missing Him, Terus Teranglah dan Seeking Trouble.

Dilamar bekas pengurus Celine Dion

Lebih istimewa, pada malam itu Wincci turut dirisik bekas pengurus penyanyi terkenal Celine Dion, Paul Faberman. Bahkan, dia terbang dari Amerika Syarikat (AS) semata-mata mahu menyaksikan kemampuan penyanyi itu.

Menurut Wincci, itu adalah antara berita gembira apabila bakal melebarkan sayap ke Hollywood selepas ini.

“Tiga bulan lalu saya ke AS untuk merakamkan lagu. Saya diperkenalkan dengan Faberman dan dia berminat dengan bakat saya.

“Dia datang menonton konsert saya untuk melihat sejauh mana kemampuan saya selain mahu mengadakan perbincangan lanjut. Bagaimanapun, tahun depan barulah saya akan ke sana kerana masih sibuk dengan agenda seni di Malaysia dan Taiwan,” katanya.

Selain menyanyi, Wincci kini sibuk menghabiskan baki penggambaran drama Mandarin berjudul Injustice Stranger yang rancak bersiaran di ntv7. Dia juga bakal turun padang mempromosikan drama itu dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 7:23 AM