AMALKAN puasa untuk jaga kesihatan.
AMALKAN puasa untuk jaga kesihatan.
Oleh Michelle Gun


Berita pelakon dan penyanyi jelita Soo Wincci, 29, berpuasa pada Ramadan bukan perkara baru dan sudah diamalkannya sejak empat tahun lalu.

Biarpun sibuk dengan penggambaran drama baru ntv7, Justice Stranger sepanjang Ramadan ini tidak menghalang bekas ratu cantik itu untuk berpuasa.

Menariknya, Wincci memberitahu pelakon drama itu, Johnson turut menyatakan hasrat ingin berpuasa selepas melihatnya masih bertenaga sepanjang hari.

“Pada mulanya, kru produksi hairan kenapa saya berpuasa kerana bukan beragama Islam. Namun, mereka kagum apabila melihat saya bertenaga dan masih mampu menjalani penggambaran walaupun tidak makan dan minum sepanjang hari,” katanya.

Menurutnya, puasa tahun ini lebih mencabar kerana dikehendaki menjalani penggambaran dalam cuaca panas di sekitar Lembah Klang.

“Selepas bangun bersahur, saya akan bergegas ke lokasi penggambaran. Dalam sehari saya dikehendaki menghabiskan 15 hingga 20 babak,” katanya.

Berkongsi diet pemakanannya, Wincci berkata, dia mengamalkan pemakanan sihat agar badannya cergas sepanjang Ramadan.

“Berikutan jadual kerjaya yang padat, saya merangka pelan diet sendiri yang terdiri daripada makanan berasaskan bijirin dan hidangan sihat.

Bagi berbuka pula, saya menjamu selera dengan hidangan lebih 300 kalori. Hanya selepas berbuka saya akan makan sayur dan makanan lain.

“Saya juga kurang mengambil makanan berprotein dan mendapati berat badan sudah turun empat kilogram,” katanya.

Menyimpan cita-cita ke Hollywood

Pun begitu, Ramadan kali ini memberi hikmah kepada Wincci selain rezekinya semakin murah.

“Syukur rezeki sangat murah dan sudah menerima beberapa tawaran projek. Walaupun bukan Islam, saya berpuasa dengan ikhlas dan tidak pernah ponteng.

“Puasa melatih saya supaya lebih bersabar, mengawal emosi serta tabah menghadapi cabaran,” katanya.

Wincci berkata, dia berharap impiannya untuk menempa nama di Hollywood akan tercapai pada masa depan.

“Saya dapat rasakan impian selama ini akan direalisasikan cepat dan berusaha untuk memastikan cita-cita itu tercapai nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wincci bakal mengadakan konsert sulung yang akan diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), 31 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 10:09 AM