Soo Wincci
Soo Wincci
Georgie Joseph


Kuala Lumpur : Artis serba boleh, Dr Soo Wincci, 38, memaklumkan dia sudah menamatkan khidmat sebagai pensyarah serta pengkaji kedoktoran di Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak 1 April lalu.

Wincci berkata, dia tidak 'cukup tangan' mengendali pelbagai agenda industri kreatif tempatan yang menjadi keutamaannya sekarang sehingga terpaksa melepaskan jawatan itu.

"Genap satu tahun berkhidmat di sana, saya memutuskan untuk berhenti. Satu keputusan yang agak berat kerana tinggi harapan saya mahu berbakti sebagai ahli akademik berhubung industri seni kreatif kita.

"Bagaimanapun, kekangan masa serta tawaran melimpah untuk kerjaya peribadi menjadi faktor saya berbuat demikian. Banyak perkara membuka mata serta saya pelajari sepanjang berkhidmat di sana," katanya.

Memandangkan Wincci menguruskan sendiri kerjaya seninya, dia memilih untuk mencari rezeki dengan memanfaatkan kepakarannya dalam memajukan industri hiburan terutamanya.

"Antara tawaran penting yang saya dapat termasuk menjadi perunding industri, penasihat produksi serta bahagian korporat. Lagipun, saya percaya kepakaran yang saya ada jauh lebih diperlukan dalam industri sekarang," katanya.

Namun, Wincci sentiasa terbuka untuk memberi khidmat secara percuma kepada bekas pelajarnya yang ingin mendapatkan ilmu daripadanya.

"Saya memang berat hati tinggalkan mereka tapi sedia mengajar secara percuma jika mereka perlukan khidmat saya. Bagi saya, ilmu dalam industri sebenar paling penting untuk mereka timba," katanya.

Wincci juga sebenarnya ada mendapat tawaran untuk mengajar di beberapa universiti tempatan dan luar negara.

"Saya sedang mempertimbangkan tawaran yang memberikan kelonggaran bersesuaian terhadap waktu bekerja saya. Ini kerana, selepas ini saya banyak ulang alik ke luar negara juga," katanya.

Wincci memulakan khidmatnya sebagai Profesor Madya di UiTM sejak 1 April tahun lalu.

Terdahulu, dia mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR), selepas dilantik Profesor Madya dalam bidang muzik dan menjadi Miss World Malaysia pertama mendapat pengiktirafan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 3:47 PM