AFP

Cromwell, AS: Juara Masters AS dua kali, Bubba Watson merakam tiga bawah par 67 untuk mengekalkan pendahuluan dengan kelebihan dua pukulan selepas pusingan kedua Kejohanan Travelers dalam Jelajah PGA AS, semalam.

Watson, yang menang tujuh kejuaraan dalam Jelajah PGA, menamatkan aksi 36 lubang dengan 11 bawah par 129. Pemain nombor lima dunia itu meraih kejuaraan sulung kariernya pada kejohanan itu lima tahun lalu.

“Saya bermain tenang dan kekal mantap,” kata Watson. “Apabila saya melakukan pukulan teruk atau pukulan itu terkeluar dari fairway, saya bermain dengan bijak.”

Brian Harman (65), Carl Pettersson (66) dan Brian Stuard (67) semua cuba merapatkan kedudukan dengan Watson di lapangan golf River Highlands. Mereka mengakhiri pusingan kedua berkongsi tangga kedua dengan sembulan bawah par 131.

Scott Brown (67), Chris Stroud (67) dan Jason Gore (68) semuanya satu pukulan lagi di belakang dan berkongsi tangga kelima dengan lapan bawah par.

Catatan Watson termasuk tiga birdie tanpa sebarang bogey. Dia berkata, lapangan itu berada dalam keadaan baik namun angin mengubah arah pergerakan bola menyebabkan pusingan kedua lebih sukar berbanding pusingan pertama.

“Green sempurna dan menakjubkan. Keadaan angin berbeza berbanding semalam. Angin hadir dari arah berbeza jadi lapangan ini kelihatan agak sukar.”

Pemain Amerika Syarikat itu berkata, kunci utama untuk bertindak baik pada hujung minggu adalah kekal fokus.

“Bergantung kepada perasaan gemuruh saya. Ketika ini saya cuba menenangkan diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2015 @ 5:17 AM