Norton, AS: Justin Thomas (gambar) kembali menunjukkan belangnya dalam saingan playoff Jelajah PGA AS dengan 63 pukulan semalam untuk berkongsi kedudukan pendahulu selepas pusingan ketiga Kejuaraan Dell.

Thomas, yang terikat di tangga keenam dalam pertandingan playoff pertama Piala FedEx 2017, tampil sebagai pendahulu bersama dengan pemain Australia, Marc Leishman apabila mengumpul 12 bawah par 201 keseluruhan menjelang pusingan akhir kejohanan itu di lapangan TPC Boston.

Bintang England Paul Casey di tangga ketiga selepas mencatat empat bawah par 67 manakala pemain nombor dua dunia Jordan Spieth melakukan 66 pukulan dan terikat dengan Grayson Murray (67) dan pemain Kanada, Adam Hadwin (68) di tangga keempat dengan 10 bawah par.

Biarpun tiga kali tersingkir berturut-turut, Thomas, 24, berada dalam saingan Piala FedEx selepas menampilkan aksi tanpa bogey semalam.

Pemenang Kejuaraan PGA itu berada dalam kelompok 10 terbaik sebanyak 10 kali musim ini, termasuk empat kemenangan.

Aksinya pada kempen kali ini ternyata tidak sia-sia semalam apabila mencatat lapan birdie, semuanya hadir menerusi lubang par empat dalam cuaca hujan di lapangan berkenaan.

“Saya benar-benar puas,” kata Thomas. “Ia satu hari yang hebat. Saya dapat rasakan mampu mengawal permainan. Pukulan drive saya begitu cantik. Pukulan iron juga baik dan pukulan jarak dekat bagus jika saya perlukannya.”- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 7:36 AM