COOK mendahului pusingan kedua golf RSM Classic.
COOK mendahului pusingan kedua golf RSM Classic.
AFP

MIAMI: Austin Cook membenam birdie pada lubang terakhir untuk melengkapkan pusingan kedua golf RSM Classic dengan lapan bawah par 62, dan memimpin saingan dengan kelebihan satu pukulan, pagi tadi.

Pemain baharu Jelajah PGA berusia 26 tahun itu berjaya mengawal gementarnya di pusingan terakhir par 70 di lapangan Seaside course, untuk merekodkan keseluruhan 14 bawah par, kelebihan satu pukulan dengan Brian Gay yang melakukan 64 pada pusingan kedua di Sea Island, Georgia.

Birdie pada lubang ke-18 melengkapkan satu lagi hari menakjubkan buat Cook, yang menjadi antara seorang daripada dua pemain di lapangan yang tidak melakukan bogey sepanjang 36 lubang.

“Kami berjaya untuk melakukan pukulan yang amat baik,” kata Cook. “Kepantasan di green juga baik dan peningkatan dan penurunan juga hebat.

“Saya memperoleh beberapa putt yang memberi tekanan, tetapi saya berjaya mengatasinya. Segala-galanya berjalan dengan amat baik ketika ini.”

Tiga pemain terikat di tangga ketiga, dengan pemain Taiwan, Pan Cheng-tsung menyertai dua pemain Amerika Syarikat (AS), Chris Kirk dan Vaughn Taylor untuk mengumpul keseluruhan sembilan bawah par.

Pan melakukan tujuh bawah par 65, manakala Kirk yang mendahului pada hari pertama selepas melakukan 63, mendapati harinya bertambah sukar apabila menyamai par 70. Taylor melakukan empat bawah par 66.

Enam pemain ketinggalan satu pukulan di belakang mereka dengan lapan bawah par, termasuk pemain Zimbabwe, Brendon de Jonge dan bintang Kanada, Ben Silverman.

De Jonge dan Silverman masing-masing melakukan 67 untuk kekal sebagai antara pencabar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 3:00 PM