Oleh Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Polis merampas 1,326 keping wang palsu pelbagai negara dan menahan lima lelaki dalam serbuan di Lorong Haji Hussien Jalan Chow Kit, petang Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 7 petang hasil maklumat awam.

"Mereka yang ditahan ialah seorang lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun dipercayai dalang yang membawa masuk wang palsu berkenaan untuk dijual kepada pembeli di negara ini.

"Ketika serbuan, lelaki itu berada di tepi jalan bersama dua lelaki tempatan yang menjadi orang tengah sedang berbincang dengan dua lelaki lain bagi urusan pembelian wang berkenaan," katanya.

Katanya, siasatan mendapati lelaki warga Indonesia itu membawa masuk wang berkenaan pada 17 Jun lalu sebagai wang contoh kepada pembeli sebelum dijual dalam kuantiti yang banyak dengan harga lebih murah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 3:56 PM