ANGGOTA penguat kuasa melaksanakan operasi  di Pasar Karat Jalan Petaling.
ANGGOTA penguat kuasa melaksanakan operasi di Pasar Karat Jalan Petaling.
Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Beberapa peniaga warga asing yang leka berniaga di Pasar Karat Jalan Petaling di sini bertempiaran melarikan diri apabila lokasi jualan mereka itu diserbu pihak berkuasa, semalam.

Dalam operasi khas itu seramai 80 individu ditahan dipercayai melakukan pelbagai kesalahan termasuk dikehendaki dalam kes jenayah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, operasi itu dijalankan dua fasa iaitu fasa pertama pada jam 4 pagi hingga 7 pagi berjaya menahan enam individu.

Manakala fasa kedua yang bermula jam 8 pagi semalam berjaya menahan 72 lelaki dan dua wanita termasuk 66 warga asing.

“Enam yang ditahan dalam fasa pertama membabitkan dua individu dikehendaki bagi kes jenayah, dua memiliki barang curi, seorang memiliki dadah dan seorang warga asing tiada dokumen.

“Dalam fasa kedua, seramai lapan warga tempatan, 19 warga Myanmar, 18 Nepal, 15 Bangladesh, 10 Indonesia serta seorang warga Thailand, Vietnam, Bahrain dan Pakistan ditahan,” katanya.

Katanya, objektif operasi itu adalah untuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang dipercayai menjual dan membeli barang curi di kawasan ini.

“Kita turut mengambil tindakan terhadap peniaga warga asing yang tiada permit untuk menjalankan perniagaan di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut melakukan tindakan sitaan terhadap peniaga di kawasan terbabit.

“Sebanyak 26 helai pakaian terpakai, 15 seluar jean terpakai, 10 pasang stoking, enam telefon bimbit pelbagai jenama, enam jam tangan terpakai dan lima beg terpakai disita dalam operasi itu,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 7:10 AM