MOHD Fahmi (dua dari kiri) meninjau individu yang ditangkap bahagian Narkotik IPD Dang Wangi. FOTO Aizuddin Saad.
MOHD Fahmi (dua dari kiri) meninjau individu yang ditangkap bahagian Narkotik IPD Dang Wangi. FOTO Aizuddin Saad.
Nurul Hidayah Bahaudin


HASRAT dua lelaki menganjurkan parti liar di sebuah apartmen di Kepong, terbantut selepas ditahan bersama dadah dalam Operasi Sarang Bersepadu di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur, hari ini.

Kedua-dua lelaki terbabit masing-masing berusia 20 dan 24 tahun ditahan bersama 170 pil ekstasi, satu plastik dadah jenis syabu dan 10 pil eramin-5 ketika dalam perjalanan bertemu rakan di lokasi terbabit kira-kira 4 pagi.

Mereka antara 100 individu yang ditahan dalam dua operasi berasingan di Flat Seri Selangor dan sekitar Chow Kit, hari ini.

Seorang daripada mereka yang ditemui berkata, semua pil berkenaan digunakan untuk parti liar yang akan dianjurkan esok.

"Dadah ini saya ambil dari sebuah pusat hiburan di Kepong untuk parti liar yang akan kami anjurkan. Dianggarkan kira-kira 20 individu terdiri daripada kenalan media sosial dijemput ke parti berkenaan.

"Kami merancang mengenakan bayaran masuk sebanyak RM15 bagi lelaki, dan percuma bagi wanita. Bagi bekalan dadah pula, mereka boleh membelinya daripada kami pada harga RM30 setiap satu untuk pil ekstasi.

"Sebelum ini, kami sering menyertai parti liar sehingga terdorong untuk menjadi penganjur untuk mendapatkan lebih keuntungan daripada hasil menjual dadah dalam parti itu nanti," katanya di Balai Polis Chow Kit, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 34 tahun memaklumkan dia menggunakan wang berjumlah RM1,000 yang diperoleh melalui pengeluaran caruman akaun kedua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi program i-Lestari sebagai modal membeli dadah untuk dijual.

Dia yang baru dibebaskan dari pusat pemulihan dua hari lalu ditahan bersama beberapa tiub dadah jenis syabu di sebuah hotel bajet di sekitar Chow Kit pada 10 pagi, hari ini.

"Saya beli dadah ini pada harga RM80 bagi setiap tiub dan menjualnya pada harga RM100. Saya beli dadah menggunakan wang caruman KWSP.

"Saya baru sahaja mendaftar masuk di hotel hari ini sebelum pihak polis membuat serbuan. Ini kali ketiga saya ditahan (polis) kerana kesalahan dadah," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 5:21 PM