BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis memburu seorang lelaki disyaki anggota kumpulan samun warga Pakistan bagi membantu siasatan kes menyamar sebagai polis dan menyamun pelancong asing di sekitar ibu kota baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata, suspek berusia antara 35 hingga 40 tahun itu dipercayai menganggotai kumpulan samun menjadikan pelancong asing sebagai mangsa dan menggunakan kereta sewa.

“Tiga anggota kumpulan itu warga Pakistan berusia lingkungan umur sama, diberkas polis dalam dua tangkapan berasingan pada 26 Januari dan 1 Februari lalu dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini," katanya selepas menyertai Program Gaya Hidup Sihat anjuran Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi di Esplanade KLCC, di sini.

Zainol berkata suspek pertama ditahan 26 Januari lalu di kawasan letak kereta Bandar Baru Ampang hasil laporan seorang lelaki Arab Saudi yang mendakwa menjadi mangsa samun di Bukit Bintang akhir November lalu.

“Ketika kejadian, mangsa berjalan kaki berhampiran pusat beli-belah Pavilion apabila suspek yang memandu kereta Proton Persona datang menahannya.

“Suspek yang menyamar sebagai polis menunjukkan kad kuasa polis untuk menggertak mangsa supaya menyerahkan wang tunai dan telefon bimbit, namun mangsa ragu-ragu lalu mengambil kunci kereta suspek," katanya.

Soal siasat terhadap suspek pertama membawa kepada penahanan dua lagi anggota kumpulan itu ketika operasi sekatan jalan raya di sekitar Chow Kit, Isnin lalu.

“Semua mereka memiliki pasport palsu Turki dan masuk ke negara ini sebagai pelancong asing. Seorang daripada suspek tiada dokumen perjalanan sah," kata Zainol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 5:39 PM