Ekhwan Haque Fazul Haque


TINDAKAN sindiket menyembunyikan rokok seludup di bawah timbunan keropok bagi mengaburi mata pihak berkuasa terbongkar selepas diserbu polis di Bazar Baru Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, semalam.

Serbuan jam 1.30 tengah hari itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi susulan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunathan Abdullah berkata, susulan serbuan itu polis menemui 440 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai lebih RM32,000 di premis menjual barangan runcit.

Menurutnya, sebelum serbuan polis menahan lelaki Indonesia berusia 25 tahun di kawasan bazar berkenaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Susulan pemeriksaan lanjut, polis menemui satu karton rokok kretek di dalam beg sebelum lelaki itu membawa polis ke premis jualan barangan runcit tempat dia bekerja.

“Polis kemudian menemui satu kotak mengandungi pelbagai rokok seludup disorokkan di bawah kotak keropok di depan premis berkenaan,” katanya pada sidang media di IPD Dang Wangi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan penahanan suspek dan rampasan yang dibuat, polis percaya dapat menumpaskan sindiket pengedaran rokok seludup bagi pasaran Chow Kit dan sekitarnya.

Katanya, polis kini masih giat menjalankan pemeriksaan lanjut bagi mengesan ahli sindiket yang terbabit dalam pengedaran rokok yang dipercayai diseludup dari Indonesia melalui jalan laut.

“Rokok yang dirampas dijual secara runcit dan polis akan terus menjalankan operasi bagi mengesan penjualan rokok tidak bercukai di sekitar ibu kota.

“Suspek kini direman selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 2:41 PM
ANTARA rampasan rokok seludup sebanyak 440 karton dalam serbuan di Bazar Baru Chow Kit, Kuala Lumpur semalam ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. FOTO Azhar Ramli
ANTARA rampasan rokok seludup sebanyak 440 karton dalam serbuan di Bazar Baru Chow Kit, Kuala Lumpur semalam ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. FOTO Azhar Ramli