Aden (Yaman): Jet pejuang tentera pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi melancarkan serangan terbaru terhadap kedudukan pemberontak Houthi di sini pada awal pagi semalam.

Serangan itu dilancarkan beberapa jam selepas rundingan damai yang berlangsung di Geneva berakhir tanpa sebarang kata sepakat.

Satu sumber tentera berkata, sekurangnya 15 serangan udara dilancarkan terhadap kedudukan militan Houthi di timur dan barat Aden.

“Objektif serangan adalah menekan militan Houthi di Aden dan membantu askar dan kumpulan yang setia kepada Presiden Yaman, Abed Rabbo Mansour Hadi,” katanya.

Katanya, militan Houthi membalas serangan itu dengan melancarkan serangan mortar terhadap beberapa kampung di Aden dan menyebabkan empat terbunuh.

Beberapa jam sebelum serangan itu, wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Yaman, Ismail Ould Cheikh Ahmed mengumumkan rundingan antara semua pihak bertelagah berakhir tanpa sebarang perjanjian.

“Secara terus terang, tiada sebarang perjanjian dicapai dalam rundingan ini,” ujarnya.

Pemberontak Houthi yang dibantu unit tentera yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh kini menguasai sebahagian besar Yaman.

Arab Saudi dan beberapa negara Arab lain mula melancarkan serangan udara pada 26 Mac lalu bagi mengembalikan kuasa Abed Rabbo.

Menurut PBB, konflik itu menyebabkan lebih 2,600 orang terbunuh dan 20 juta penduduk lagi memerlukan bantuan kemanusiaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 5:13 AM