PEMBERONTAK Houthi mengurus mayat seorang rakan mereka yang terbunuh dalam pertempuran di Taez, kelmarin.
PEMBERONTAK Houthi mengurus mayat seorang rakan mereka yang terbunuh dalam pertempuran di Taez, kelmarin.
PEJUANG yang setia kepada Presiden Abed Rabbo mengusung rakan mereka yang cedera dalam pertempuran dengan pemberontak Houthi di Aden, semalam.
PEJUANG yang setia kepada Presiden Abed Rabbo mengusung rakan mereka yang cedera dalam pertempuran dengan pemberontak Houthi di Aden, semalam.
Reuters

Aden : Seramai 44 orang terbunuh dalam pertempuran antara pemberontak dengan tentera prokerajaan dan serangan udara yang diketuai Arab Saudi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, ratusan maut dan ribuan keluarga meninggalkan kediaman masing-masing sejak serangan udara dilancarkan pada 26 Mac lalu atas permintaan Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi. Sumber berkata, 10 pemberontak Houthi dan empat anggota militia yang berjuang di pihak Abed Rabbo terbunuh dalam pertempuran sebelum Subuh di Taiz, semalam.

Bandar itu menyaksikan pertempuran sengit sejak seminggu lalu sedangkan sebelum ini ia tidak terjejas dengan perbalahan di wilayah lain.

Serangan udara di Daleh di selatan negara itu selain pertempuran semalam melihat kematian 17 Houthi dan enam pejuang prokerajaan manakala tujuh lagi pemberontak terbunuh dalam serangan oleh beberapa kabilah di wilayah Shabwa.

Di Aden, penduduk melaporkan pejuang bertempur dengan pemberontak namun tiada kematian direkodkan.

Dalam pada itu, panglima tentera Yaman di wilayah sempadan dengan Arab Saudi yang mengetuai sekurang-kurangnya 15,000 anggota semalam menyuarakan sokongan kepada Presiden Abed Rabbo.

Brigadier Jeneral Abdulrahman al-Halily mengumumkan demikian menerusi radio rasmi yang disiarkan dari Seiyun, bandar utama di lembah Hadramaut.

Kebanyakan tentera Yaman sebelum ini setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh yang bersekutu dengan pemberontak Houthi dalam pertempuran di selatan dan timur negara itu.

Beberapa kabilah berpengaruh di Hadramaut juga menyuarakan keputusan untuk memihak kepada Presiden Abed yang kini hidup dalam buangan di Riyadh.

“Pengumuman tentera berkenaan menyusuli keputusan kabilah terbabit.

“Tidak mungkin tentera menentang kabilah berkenaan dan pada masa sama tinggal sebelah menyebelah. Ia mungkin juga kesan tekanan daripada Arab Saudi,” kata penganalisis politik di Seiyun Radhi Subaih.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 7:46 AM