PENDUDUK Yaman melngerumuni kereta yang musnah selepas ia digunakan untuk membunuh Gabenor Aden.
PENDUDUK Yaman melngerumuni kereta yang musnah selepas ia digunakan untuk membunuh Gabenor Aden.
Reuters

Aden: Gabenor Aden Jaafar Saad terbunuh semalam dalam serangan bom kereta, sehari selepas kunjungan duta khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendesak rundingan damai diadakan.

Kumpulan Negara Islam (IS), dalam kenyataan menerusi Twitter, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan di kejiranan Tawahi itu.

Lapan pengawal Jaafar turut terbunuh.

Ketua keselamatan Aden Jeneral Mohamed Mussad mengesahkan kematian Jaafar.

Jaafar dilantik menjadi gabenor Aden baru-baru ini dan dia dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi yang kembali ke bandar raya itu bulan lalu selepas hidup dalam buangan di Riyadh.

Dengan bantuan Arab Saudi dan beberapa negara Arab, tentera pro-Abed dan kabilah yang menyokongnya terbabit dalam peperangan menentang pemberontak Houthi, menyebabkan negara miskin itu huru-hara dan membolehkan militan seperti IS mengambil kesempatan.

PBB berkata lebih 5,700 orang terbunuh di Yaman, separuh daripadanya orang awam, sejak kempen serangan udara yang diketuai Arab Saudi bermula Mac lalu untuk menyokong kerajaan Abed.

Kelmarin, sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati hakim mahkamah keganasan Mohsen Mohamed Alwan dan empat pengawalnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 5:06 AM