SEORANG lelaki Yaman memeriksa keadaan rumahnya yang musnah selepas serangan udara yang diketuai Arab Saudi di daerah Hamdan, pinggir barat Sanaa, semalam.
SEORANG lelaki Yaman memeriksa keadaan rumahnya yang musnah selepas serangan udara yang diketuai Arab Saudi di daerah Hamdan, pinggir barat Sanaa, semalam.

Taez (Yaman): Pesawat tentera pakatan Arab mengebom sebuah kem yang dijadikan tempat tinggal askar pemberontak di Taez ketika pertempuran di negara itu memuncak pada malam semalam.

Penduduk berkata, pesawat pejuang pakatan Arab menyerang kem berkenaan yang menempatkan satu unit tentera yang setia kepada bekas Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh di tengah Taez.

Kedudukan pemberontak di Aden turut menjadi sasaran serangan ketika pertempuran antara pejuang yang setiap kepada Presiden Yaman, Abed Rabbo Mansour Hadi dan kumpulan pemberontak berlarutan hingga subuh.

Penduduk di wilayah Marib turut melihat serangan udara tentera pakatan berkenaan dan pertempuran antara pejuang yang setiap kepada Abed Rabbo dan militan Houthi.

Bagaimanapun, jumlah korban dalam serangan udara dan pertempuran berkenaan masih belum dapat dipastikan pihak berkuasa.

Kempen serangan udara pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi itu dilancarkan pada bulan lalu bagi menghalang Yaman jatuh ke tangan kumpulan pemberontak.

Pada Selasa lalu, tentera pakatan Arab mengumumkan fasa baru kempen yang bertujuan meneruskan proses politik di Yaman, penghantaran bantuan dan menentang keganasan.

Tentera pakatan turut menjatuhkan senjata dan peluru kepada pejuang yang setiap kepada Abed Rabbo.

Abed Rabbo kini mendapat perlindungan di Arab Saudi selepas melarikan diri dari negara itu pada bulan lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:05 AM