FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung jaminan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas mendapat tempat di kolej matrikulasi dianggap sebagai satu anjakan paradigma.

Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata, daripada perspektif pendidikan, tindakan berkenaan sebagai langkah berani.

"Kita tahu apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri itu biasanya dianggap sebagai sensitif atau kontroversi dalam kalangan orang Melayu.

"Tetapi kenyataan beliau pada saya satu anjakan paradigma. Ini kerana, beliau boleh melihat kepentingan pendidikan, hak mendapat pendidikan yang baik dan kualiti pendidikan itu melangkaui isu perkauman dan sebagainya.

"Beliau (Anwar) melihat setiap anak-anak yang cemerlang tanpa mengira kaum Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak perlu diiktiraf dan diberi peluang untuk meneruskan kecemerlangan mereka di matrikulasi," katanya.

Menurutnya, tindakan Anwar adalah keputusan yang berani selain memandang ke hadapan untuk menyediakan sumber manusia dan pelapis pemimpin yang baik serta hebat pada masa depan.

Katanya, keputusan itu tidak mengganggu atau tidak akan merungkai kuota yang sudah disediakan.

"Apa yang sedang dilakukan sekarang adalah menambah bilangan pelajar cemerlang di matrikulasi dengan kemasukan pelajar 10A dan ke atas ini.

"Tetapi, dari segi peratusannya kekal. Maksudnya, masih kekal 90 peratus itu Bumiputera dan 10 peratus itu bukan Bumiputera. Jadi, tidak timbul isu ada hak Bumiputera diambil.

"Justeru, saya cadang kolej tingkatan enam sedia ada dijadikan cawangan kolej matrikulasi, atau kampus cawangan jika kolej matrikulasi tidak mampu tampung peningkatan jumlah pelajar.

"Itu adalah satu alternatif untuk kita memastikan bahawa peratusan kuota tidak berubah," katanya.

Katanya, pada masa sama, pelajar yang memperoleh 8A, 7A, 6A, daripada keluarga miskin tidak boleh dipinggirkan.

"Sebab itu, pada saya bilangan pelajar matrikulasi ini boleh ditambah untuk mengisi kumpulan pelajar yang mungkin dapat 8A, 9A ini.

"Pada saya mereka cemerlang, cuma mungkin persekitaran mereka tidak begitu menyokong sebagai mana pelajar-pelajar yang dapat 10A. Jadi, itu cadangan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 4:31 PM