Pejuang prokerajaan menembak kedudukan militan Houthi dalam satu pertempuran di Aden, semalam.
Pejuang prokerajaan menembak kedudukan militan Houthi dalam satu pertempuran di Aden, semalam.
AFP

Sanaa: Bekas Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh kelmarin menggesa kumpulan pemberontak yang setia kepadanya supaya tunduk dengan desakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk berundur daripada wilayah yang dikuasai mereka.

Gesaan itu dibuat supaya serangan udara pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi dihentikan dan rundingan damai boleh dimulakan.

Ali masih berpengaruh ke atas unit tentera Yaman yang bersekutu dengan militan Houthi untuk menawan sebahagian besar negara itu.

Beliau baru-baru ini mengalu-alukan tawaran rundingan damai oleh Majlis Keselamatan PBB bagi menghentikan pertumpahan darah di Yaman.

Lebih 1,000 orang terbunuh dalam pertempuran yang bermula sejak Mac lalu dan seramai 115 daripada mangsa adalah kanak-kanak.

Ali dalam kenyataan yang dibacakan saluran televisyen Yaman menyeru militan Houthi menerima keputusan Majlis Keselamatan dan sebagai balasan serangan udara akan dihentikan.

“Saya menyeru semua kumpulan pemberontak dan juga pejuang yang setia kepada Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi untuk berundur dari semua wilayah terutamanya Aden,” katanya.

Ali juga mencadangkan semua wilayah diserahkan kepada tentera dan pasukan keselamatan di bawah kawalan pihak berkuasa tempatan di setiap wilayah.

Beliau menggesa semua pihak tanpa pengecualian mengadakan rundingan dan meminta maaf.

“Saya akan memaafkan semua orang demi kepentingan negara,” katanya.

Tentera pakatan Arab yang melancarkan serangan udara ke atas kumpulan pemberontak sejak 26 Mac lalu mengumumkan tamatnya kempen itu pada Selasa bagi mencari penyelesaian politik.

Bagaimanapun, serangan udara diteruskan sehari selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:03 AM