ABED Rabbo disambut oleh pegawai Yaman ketika tiba di Lapangan Terbang Aden, awal semalam.
ABED Rabbo disambut oleh pegawai Yaman ketika tiba di Lapangan Terbang Aden, awal semalam.
Agensi

Aden: Presiden Yaman Abed Rabbo Mansour Hadi semalam kembali ke bandar ini selepas enam bulan hidup dalam buangan di Arab Saudi.

Dia tiba di Aden, bandar kedua terbesar Yaman, beberapa jam selepas pesawat pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi melancarkan serangan besar-besaran di Sanaa, menyebabkan sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh.

Abed Rabbo yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa tiba di Aden dengan pesawat tentera Saudi berjanji untuk kembali ke Sanaa, ibu negara Yaman yang ditawan pemberontak Houthi pada September tahun lalu, secepat mungkin.

“Kami akan kembali semula ke Sanaa sedikit masa lagi selepas semua bandar dan wilayah dibebaskan daripada pemberontak,” katanya.

Abed Rabbo dijangka berada di Aden selama beberapa hari sebelum berlepas ke New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Aden menjadi tempat perlindungan terakhir selepas dia melarikan diri dari Sanaa setelah militan Houthi menawan bandar raya itu.

Sebahagian besar Sanaa musnah ekoran pertempuran sengit dan serangan udara pakatan Arab sejak 26 Mac lalu.

Perdana Menteri Khaled Bahah dan beberapa anggota Kabinet Abed Rabbo pulang ke Aden dua minggu lalu, dua bulan selepas bandar itu dikuasai semula tentera kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 6:16 AM