FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Jangkitan demam kepialu atau tifoid yang merebak di sebuah sekolah menengah di sini, dipercayai bermula beberapa hari sebelum Aidiladha pada 17 Jun lalu.

Difahamkan, jangkitannya menular dengan sekumpulan pelajar yang tinggal di asrama dan guru masih dirawat di hospital antaranya, Hospital Tumpat serta diisolasi.

Seorang ibu kepada pelajar yang enggan dikenali berkata, jangkitan bermula dalam kalangan pelajar yang tinggal di asrama sekolah.

"Kemudian ia menular dan menjangkiti pelajar harian dan semakin bertambah teruk ketika ini.

"Sehingga sekarang ada guru dan pelajar masih dikuarantin di Hospital Tumpat," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Wanita itu turut dimaklum yang Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan hadir ke sekolah esok untuk melakukan ujian darah.

Bapa seorang pelajar pula memberitahu, sebelum ini lebih 30 pelajar sekolah terbabit mengalami keracunan makanan.

Untuk itu, beliau meminta pihak sekolah agar lebih berhati-hati dan memastikan kesihatan serta keselamatan pelajar terjamin.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Husin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkait kes berkenaan.

Katanya, kerja-kerja pengawalan, pengesanan dan rawatan sedang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 5:06 PM