Kuala Lumpur duduki tangga ke-13 pemandangan bandar paling indah di dunia.
Kuala Lumpur duduki tangga ke-13 pemandangan bandar paling indah di dunia.
Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur menduduki tangga ke-13 pemandangan bandar paling indah di dunia.

Pengiktirafan itu dikongsi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di platform X beliau yang memetik grafik diterbitkan majalah antarabangsa Architectural Digest.

Beliau berbangga dengan pengiktirafan itu apabila memperakui rekaan senibina di negara ini yang turut mengadaptasi pelbagai budaya Malaysia dengan teknologi hijau.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan agar ciri-ciri itu boleh diketengah sebagai garis panduan dalam perancangan bandar pada masa akan datang.

"Senibina yang bercirikan budaya Malaysia yang pelbagai dan teknologi hijau wajar dijadikan hala tuju baharu dalam perancangan bandar kita," katanya hari ini.

Mengikut kedudukan yang diterbitkan portal antarabangsa itu, Manhattan berada di kedudukan pertama, disusuli Hong Kong, Chicago, Dubai, Tokyo, Perth, Sydney dan Shanghai.

Ia diikuti Singapura, Bangkok, Tianjin dan Panama City, Kuala Lumpur, Milwaukee, Auckland dan Toronto.

Menurut artikel diterbitkan di portal berkenaan menyifatkan pemilihan Kuala Lumpur sebagai bandar paling indah di dunia bukan saja mengambil kira ketinggian Menara Berkembar Petronas, tetapi ciri-ciri senibina unik ada pada mercu tanda Malaysia.

Menurut Architectural Digest, Menara Berkembar Petronas yang direka oleh Cesar Pelli, menggembleng acuan senibina gaya pascamoden dan diinspirasi daripada seni bina Islam.

Ditambah dengan latar belakang langit Kuala Lumpur mengindahkan lagi pemandangan menara yang menjadi mercu tanda negara ini.

Menara Berkembar Petronas bukan satu-satu bangunan pencakar langit di ibu kota kerana kota metropolitan ini turut mempunyai 241 bangunan pencakar langit termasuk Merdeka 118 tersenarai bangunan kedua tertinggi di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 4:09 PM