Lori membawa muatan hasil laut terjatuh di Jalan Kuala Selangor-Sungai Buloh, berhampiran kawasan Perindustrian Kota Elmina, Sungai Pelong, di sini, semalam akibat pagar pengangkut lori terbuka. FOTO IHSAN PDRM
Lori membawa muatan hasil laut terjatuh di Jalan Kuala Selangor-Sungai Buloh, berhampiran kawasan Perindustrian Kota Elmina, Sungai Pelong, di sini, semalam akibat pagar pengangkut lori terbuka. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Sungai Buloh: Lori membawa muatan hasil laut terjatuh di Jalan Kuala Selangor-Sungai Buloh, berhampiran kawasan Perindustrian Kota Elmina, Sungai Pelong, di sini, semalam akibat pagar pengangkut lori terbuka.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh menerima panggilan dari orang awam memaklumkan ada muatan sebuah lori terjatuh pada jam 7.46 petang.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila pagar pengangkut lori dipercayai terbuka semasa melalui jalan selekoh mengakibatkan beberapa tong muatan hasil laut terjatuh di atas jalan raya.

"Semakan setakat ini mendapati tiada laporan polis dibuat oleh pemandu lori terbabit.

"Pihak polis meminta kerjasama saksi kejadian supaya tampil menghubungi Inspektor Hasanal Hasif Johari di talian 019-2264650 bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu tular di media sosial orang ramai mengutip hasil laut sotong yang terjatuh dari lori itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 4:16 PM