SEORANG lelaki berjalan di satu sisa runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan udara di Taiz.
SEORANG lelaki berjalan di satu sisa runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan udara di Taiz.

Riyadh: Presiden Yaman, Abed Rabbo Mansour Hadi mencadangkan gencatan senjata selama 15 hari bagi membolehkan pemberontak berundur dari semua bandar, bangunan kerajaan dan kemudahan tentera yang ditawan mereka.

Cadangan Abed Rabbo diberikan kepada wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Yaman, Ismail Ould Cheikh Ahmed di Arab Saudi, Khamis lalu.

Ismail Ould dijadualkan ke Oman kelmarin untuk berjumpa wakil pemberontak Houthi bagi membincangkan cadangan berkenaan.

Kerajaan Yaman melahirkan sokongan terhadap gencatan senjata sebelum ini tetapi ini adalah gencatan senjata secara rasmi yang pertama dicadangkan Abed Rabbo.

Cadangan itu menggesa pemberontak Houthi dan askar yang setia kepada bekas presiden Ali Abdullah Saleh segera melaksanakan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mahu keganasan ditamatkan dan kembali ke meja rundingan.

Ketika ini askar kerajaan yang dibantu serangan udara pakatan Arab berjaya menawan kembali beberapa lokasi strategik daripada pemberontak termasuk bandar Aden.

Tentera kerajaan yang dibantu pejuang tempatan kini mara menuju ke ibu kota Yaman, Sanaa.

Sementara itu, kumpulan bantuan antarabangsa, Doctors Without Borders kelmarin merayu kedua-dua pihak bertelagah menghentikan serangan terhadap sasaran awam.

Gesaan itu dibuat sehari selepas satu serangan udara di Taiz menyebabkan 65 orang terbunuh manakala 23 lagi cedera.

“Pasukan bantuan kami gagal sampai ke hospital di Taiz kerana pertempuran sengit masih berlaku,” kata kumpulan itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:03 AM