SEBAHAGIAN daripada mangsa banjir di tempatkan di Pusat Kebudayaan Penampang. FOTO Bernama
SEBAHAGIAN daripada mangsa banjir di tempatkan di Pusat Kebudayaan Penampang. FOTO Bernama
BERNAMA

Penampang: Penduduk di sekitar Penampang menyifatkan banjir yang berlaku ketika ini sebagai paling buruk, bukan sahaja merosakkan harta benda tetapi juga telah meragut satu nyawa.

Warga emas, Nicholas Yap, 68, berkata, beliau yang tinggal di Kampung Dabak di sini sejak lahir tidak pernah berdepan situasi banjir seburuk itu sebelum ini.

"Sebelum ini ada berlaku banjir tetapi tidak sengsara seperti ini sampai tidak sempat selamatkan harta benda. Syukur saya dan seorang anak sempat selamatkan diri.

"Air masuk ke dalam rumah terlalu cepat sampai dalam kawasan Sekolah (Menengah Kebangsaan) St Michael pun tenggelam, memang kami orang kampung tidak sangka banjir kali ini teruk begitu sekali," katanya kepada Bernama.

Yap berkata, beliau bersama penduduk kampung bergegas keluar dari rumah pada malam Ahad dengan dibantu anggota penyelamat dan berharap ada pihak yang sudi membantu penduduk kampung melakukan kerja pembersihan setelah banjir surut nanti.

Jumlah mangsa banjir di Sabah setakat pagi tadi merekodkan 464 orang daripada 140 keluarga berada di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Penampang, Putatan dan Tuaran.

Pekerja pasar raya Ainner Lindy Angus, 27, berkata, banjir di Penampang pada kali ini amat berbeza kerana arus lebih deras berbanding sebelum ini menyebabkan air banjir naik dengan mendadak.

"Malam itu saya dengar orang kampung menjerit suruh keluar rumah, saya tengok air datang amat laju dan terus dukung dua anak lalu berlari keluar dari rumah bersama suami. Kami tidak sempat selamatkan barangan kerana dalam tempoh kurang 10 minit air sudah masuk rumah," katanya yang tinggal di Kampung Tuavon.

Ainner berkata, majoriti penduduk terdiri daripada golongan B40, justeru kehilangan harta benda akibat banjir amat memberi kesan kepada mereka dan berharap ramai pihak tampil membantu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan St Michael, Esther Gabriel, 14, berkata, rumahnya terletak di tepi sungai dan dia tidak sempat menyelamatkan buku serta barangan keperluan sekolah.

"Air sungai tiba-tiba sahaja meningkat dan arusnya amat deras. Saya sempat ambil dokumen penting dan sedikit baju sebelum ayah tarik suruh cepat keluar rumah. Kami lari di kawasan tinggi di gereja dan sedih tengok dari jauh rumah dimasuki air," katanya.

Esther berkata, dia terkejut apabila melihat keadaan sekolahnya dipenuhi lumpur selepas banjir mula surut dan berharap ada pihak yang dapat membantu membersihkan serta memulihkan kembali sekolah itu.

Pegawai Daerah Penampang Francis Chong berkata bacaan paras air banjir tertinggi di kawasan Penampang adalah 10.05 meter yang direkodkan pada 10.28 malam Ahad lepas, dan paras tertinggi itu kini semakin surut kepada sekitar 8 meter.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Penampang itu berkata, hampir semua kampung dan kawasan Penampang terjejas akibat banjir besar itu, namun situasi banjir dilihat mula pulih petang ini.

"Banjir ini mungkin disebabkan hujan lebat di kawasan sebelah atas Penampang bermula tengah hari (Ahad lepas) hingga Sungai Moyog melimpah dan sebabkan banjir di kawasan ini. Banjir kali ini berlaku mengejut dan begitu pantas," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah menyediakan kawasan selamat di PPS Dewan Kebudayaan Penampang dengan dilengkapi keperluan asas untuk mangsa banjir, justeru penduduk dinasihati mengikut arahan pihak berkuasa untuk berpindah segera dari kawasan kediaman yang berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 4:21 PM