Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj (tengah) menyertai kayuhan terakhir bersama pensyarah dan pelajar UITM pada Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan UITM di UITM Shah Alam. FOTO GENES GULITAH
Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj (tengah) menyertai kayuhan terakhir bersama pensyarah dan pelajar UITM pada Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan UITM di UITM Shah Alam. FOTO GENES GULITAH
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berkayuh dari Kampus Puncak Alam hingga ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di sini, bersempena acara penutupan Program Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan (Semenanjung).

Ia bersempena sambutan 25 tahun UiTM sebagai sebuah universiti ulung di negara ini.

Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin @ Sahib Sahibuddin berkata, Tengku Amir Shah diiringi 12 warga UiTM yang mengambil bahagian dalam kayuhan dengan jarak keseluruhan 2,000 km mengelilingi Semenanjung Malaysia membabitkan staf akademik dan pentadbiran serta empat penuntut.

"Untuk makluman, 12 peserta Kayuhan Kapsul 25 Tahun ini mula berkayuh bersama Raja Muda Selangor dari UiTM Puncak Alam di sini. Mereka berkayuh sejak 20 Jun lalu merentasi UiTM kampus cawangan setiap negeri di Semenanjung Malaysia.

"Kampus cawangan UiTM disinggahi membabitkan Kuala Pilah (Negeri Sembilan), Alor Gajah (Melaka), Segamat (Johor), Jengka (Pahang), Dungun (Terengganu), Machang (Kelantan), Arau (Perlis), Sungai Petani (Kedah), Permatang Pauh (Pulau Pinang), Seri Iskandar (Perak) seterusnya Puncak Alam dan berakhir di UiTM Shah Alam.

"Lebih istimewa, Pensyarah Kanan UiTM kampus cawangan Permatang Pauh, Norlizan Wahid, srikandi wanita tunggal dalam kayuhan ini, menunjukkan semangat juang dan ketabahan yang luar biasa mewakili wanita UiTM dalam misi penuh inspirasi ini," katanya kepada media selepas penutupan Kayuhan 25 tahun UiTM itu di Dewan Agung Tuanku Canselor, di sini, tadi.

Jelas beliau, simbolik Kayuhan Kapsul 25 Tahun berkenaan adalah membawa kapsul mengandungi hasrat serta harapan setiap kampus UiTM.

"Kapsul ini akan disimpan di monumen yang bakal dibina dan dilancarkan sempena sambutan Malam Gala 25 Tahun UiTM pada 24 Ogos 2024.

"Monumen ini akan menjadi tanda peringatan kepada generasi akan datang, mengabadikan aspirasi dan impian seluruh warga UiTM," katanya.

Beliau berkata, kayuhan itu turut berkolaborasi dengan Program Kayuhan MAIPs Peduli bersama Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

"Semasa kayuhan di sekitar Kampus Arau, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan peserta Kayuhan Kapsul 25 Tahun mengambil peluang untuk singgah di rumah asnaf bagi menyampaikan bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 4:24 PM