SEORANG lelaki Yaman berjalan berhampiran sebuah kenderaan yang rosak teruk selepas serangan udara Saudi berhampiran pangkalan tentera Fajj Attan, Sanaa, semalam.
SEORANG lelaki Yaman berjalan berhampiran sebuah kenderaan yang rosak teruk selepas serangan udara Saudi berhampiran pangkalan tentera Fajj Attan, Sanaa, semalam.
PENDUDUK Yaman berdiri di jambatan yang runtuh selepas serangan udara yang diketuai Arab Saudi berhampiran Ibb, tengah negara itu.
PENDUDUK Yaman berdiri di jambatan yang runtuh selepas serangan udara yang diketuai Arab Saudi berhampiran Ibb, tengah negara itu.
AFP

Taez: Pesawat pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi semalam melancarkan serangan baru terhadap Yaman, beberapa jam selepas Riyadh mengumumkan ia menamatkan kempen serangan udara yang dilancarkan sejak empat minggu lalu.

Dalam pada itu, pemberontak Yaman menawan sebuah pangkalan tentera di sini.

Arab Saudi sebelum ini memberi amaran, ia bersiap sedia untuk melancarkan serangan selanjutnya terhadap sebarang kemaraan pemberontak dan sekuru mereka walaupun selepas menamatkan kempen serangan udara itu mulai kelmarin.

Pertempuran darat juga berterusan antara pemberontak dengan tentera yang setia kepada Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi, termasuk di Aden dan juga Taez.

Di Taez, bandar ketiga terbesar Yaman, pemberontak mengambil kesempatan dengan pemberhentian serangan udara untuk menawan ibu pejabat Briged 35 Armor yang setia kepada Abed Rabbo.

Mereka mengepung pangkalan tentera itu sejak lebih seminggu lalu.

Ia mendorong Arab Saudi melancarkan serangan baru terhadap kedudukan pemberontak dalam markas berkenaan dan beberapa tempat di sekitar bandar itu.

Seorang pegawai berkata, serangan itu menyebabkan puluhan orang mati atau cedera.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebelum ini berkata, sekurang-kurangnya 944 orang terbunuh di Yaman sejak 19 Mac lalu.

Riyadh, ketika mengumumkan pemberhentian kempen serangan udara itu berkata, operasi berkenaan berjaya menghapuskan ancaman pemberontak Yaman, khususnya Houthi, terhadap Arab Saudi dan negara jirannya.

Bagaimanapun, pemberontak Houthi yang disokong tentera Yaman yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Salleh masih menguasai Sanaa dan sebahagian besar wilayah di negara itu.

Abed Rabbo pula masih hidup dalam buangan di Riyadh selepas melarikan diri ke ibu negara Saudi itu sebaik serangan bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 7:36 AM