Muhamad Zaki menunjukkan tiga individu bagi membantu siasatan berkaitan penipuan urusan pembelian satu tanah bernilai RM320,000 di daerah Kota Bharu pada Januari tahun lalu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Muhamad Zaki menunjukkan tiga individu bagi membantu siasatan berkaitan penipuan urusan pembelian satu tanah bernilai RM320,000 di daerah Kota Bharu pada Januari tahun lalu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Polis giat mengesan tiga individu termasuk dua beradik bagi membantu siasatan kes penipuan jual beli tanah bernilai RM320,000 di Kota Bharu, Januari tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tiga lelaki itu adalah Mohamed Zahiduddin Mohamed, 43; Luqman Nurhakim Perma Suria, 36, dan adiknya, Mohamad Shukkram Perma Suria, 28.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pada Januari 2023, wanita yang juga pengusaha batik berusia 53 tahun membeli satu lot tanah berkeluasan 0.53 hektar di Mukim Guntong, Kota Bharu bagi pihak suaminya yang berumur 65 tahun.

"Wanita itu membayar sejumlah RM320,000 kepada penjual tanah di CIMB Kubang Kerian dan urusan itu turut disaksikan sendiri oleh suaminya.

"Selepas itu, pemilik tanah menyerahkan geran asal berserta satu salinan borang 14A yang tertera namanya dan turut menandatangani surat akuan sumpah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, pada 3 Ogos tahun lalu, pengusaha batik itu ke Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu bagi urusan pindah milik tanah kepada nama suaminya.

"Bagaimanapun, wanita itu dimaklumkan yang tanah berkenaan sudah dipindah milik kepada nama seorang individu lain dan selepas semakan lanjut, mangsa merasakan sudah diperdaya dan membuat laporan polis di Balai Polis Kubang Kerian," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Siti Muslihah Mohamed di talian 010-9012988 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 4:11 PM