SELANGOR FC menerima hukuman ‘keras’ daripada MFL pada awalnya sebelum ditarik balik.
SELANGOR FC menerima hukuman ‘keras’ daripada MFL pada awalnya sebelum ditarik balik.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Isu hukuman dikenakan terhadap Selangor FC perlu diambil iktibar buat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk berfikir sehabis baik sebelum memutuskan sebarang bentuk hukuman kepada mana-mana pasukan.

Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu perlu meneliti atau membuat pertimbangan sebaik mungkin mengenai bentuk hukuman akan dikenakan mengikut kesesuaian kesalahan dilakukan pasukan.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah menyifatkan hukuman awal Selangor perlu bermain tanpa penonton bagi aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai tindakan tidak sesuai dengan kesalahan pasukan itu.

Beliau yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, ia kerana kesalahan dilakukan Selangor adalah tidak hadir perlawanan Piala Sumbangsih dan bukannya membabitkan insiden rusuhan atau kekecohan penyokong.

"Itu kes (kesalahan) pasukan, tiada sebab nak bagi main (stadium) kosong dan ia bukan kesalahan penyokong merusuh atau bergaduh.

"Hukuman itu terlampau berat. Biasanya hukuman memang ada denda dan pemotongan mata. Ya (MFL perlu ambil iktibar), jangan dibuat (hukuman) ikut emosi," katanya.

Terdahulu, MFL mengenakan empat bentuk hukuman terhadap Selangor FC selepas pasukan itu tidak hadir ke aksi Piala Sumbangsih menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.

Hukuman awal diputuskan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL itu termasuk denda RM100,000 dan bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL.

Selangor FC turut dikenakan pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 dan perlawanan Liga Super menentang JDT di Stadium MBPJ akan dimainkan tanpa penonton.

Namun, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat pusingan 'U' mempertimbangkan semula hukuman itu sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Situasi terbabit menyaksikan MFL mengurangkan denda daripada RM100,000 kepada RM60,000, manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 dan larangan kemasukan penonton turut dibatalkan.

Namun, bayaran pampasan kerugian yang perlu dibayar kepada pasukan JDT dan MFL dikekalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 4:49 PM