ANGOTA sebuah kabilah yang menyokong Presiden Abed Rabbo berkumpul di Taez, selatan Yaman, ketika pertempuran dengan pemberontak Houthi reda seketika, semalam.
ANGOTA sebuah kabilah yang menyokong Presiden Abed Rabbo berkumpul di Taez, selatan Yaman, ketika pertempuran dengan pemberontak Houthi reda seketika, semalam.
AFP

Bandar Kuwait: Menteri Luar Yaman Riyadh Yassin semalam menolak tawaran Iran untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan krisis peperangan di negara itu.

Riyadh menegaskan kumpulan pemberontak yang disokong Teheran perlu meletakkan senjata sebelum sebarang rundingan boleh dijalankan.

“Sebarang usaha damai dari Iran tidak boleh diterima kerana Teheran terbabit dalam isu di Yaman,” katanya ketika menghadiri mesyuarat ekonomi Arab-Turki di sini.

“Iran memainkan peranan besar dalam krisis di Yaman dan mereka yang terbabit dalam krisis ini tidak boleh menjadi orang tengah,” tambahnya.

Teheran didakwa menyokong militan Houthi yang berfahaman Syiah dan juga unit tentera yang setia kepada bekas Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh.

Kumpulan pemberontak itu menguasai sebahagian besar Yaman dan situasi berkenaan menyebabkan Arab Saudi serta negara Arab lain melancarkan serangan udara bagi menyokong kerajaan Yaman yang sah.

Riyadh berkata, beribu-ribu pemberontak terbunuh sejak serangan udara tentera pakatan Arab bermula 26 Mac lalu.

Serangan udara itu dilancarkan selepas Presiden Yaman, Abed Rabbo Mansour Hadi merayu Arab Saudi menyekat kemaraan kumpulan pemberontak ke bandar Aden.

Kemaraan pemberontak itu menyebabkan Abed Rabbo terpaksa melarikan diri ke Arab Saudi.

Tambah Riyadh, kerajaan Yaman tidak menerima sebarang rundingan melainkan militan Houthi dan askar yang setia kepada Ali meletakkan senjata.

“Militan Houthi dan askar itu mesti berundur dari semua bandar dan kampung di Yaman termasuk Sanaa serta Aden.

“Mereka perlu pulang ke kubu kuat mereka di Saada sebagai orang awam dan meletakkan senjata.

“Selepas itu baru boleh berbincang mengenai dialog dan satu penyelesaian politik pula.

“Tetapi kini tiada ruang untuk semua itu,” tegasnya.

Sementara itu, Riyadh memberitahu negara Arab dan beberapa negara lain akan menghadiri satu mesyuarat bagi meneliti rancangan pembangunan semula Yaman selepas peperangan berkenaan.

“Kami bersama negara Teluk sedang meneliti projek bagi membangunkan semula Yaman,” katanya tanpa memberitahu tarikh mesyuarat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 7:22 AM