REXY (kanan) berharap Pearly-Thinaah dapat lepasi peringkat kumpulan. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
REXY (kanan) berharap Pearly-Thinaah dapat lepasi peringkat kumpulan. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengharapkan semangat juang tinggi dapat ditampilkan oleh beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah selepas diundi dalam Kumpulan A yang dilihat penuh berliku.

Jelas Rexy, jika dilihat hasil undian kumpulan itu, wakil negara itu tidak seharusnya mengalah sebelum berjuang kerana di pentas tertinggi seperti Olimpik apa sahaja boleh berlaku.

"Kalau dilihat agak sukar untuk beregu wanita tetapi ini Olimpik. Harap Pearly-Thinaah beraksi tidak rugi apa-apa dan mereka harus sedar bahawa kalau nak menang bukan hanya dengan mengharapkan saingan kumpulan itu mudah atau sebaliknya.

"Mereka harus bersedia untuk berjuang, kalau mereka boleh melepasi saingan kumpulan, itu akan meningkatkan keyakinan mereka (di pusingan seterusnya)," katanya.

Pada majlis undian hari ini, beregu ke-13 dunia diundi dalam kumpulan maut bersama pemenang pingat perak di Tokyo 2020 dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan dan gandingan berpengalaman Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti.

Untuk rekod, Apriyani adalah pemenang pingat emas dalam acara berkenaan di Tokyo 2020 bersama bekas pasangannya, Greysia Polii selepas menewaskan pasangan dari China, Qingchen-Yifan 21-19, 21-15 dalam perlawanan akhir.

Turut berada dalam kumpulan berkenaan adalah beregu Jepun di ranking keenam dunia, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 8:09 PM