NORMAN ketika muncul juara 400m tahun lalu. FOTO REUTERS
NORMAN ketika muncul juara 400m tahun lalu. FOTO REUTERS
Reuters

New York: Michael Norman tidak akan mempertahankan gelaran juara dunia 400 meter (m) di Kejohanan Dunia dekat Budapest, kata atlet Amerika itu kerana mahu memberi fokus kepada Sukan Olimpik Paris 2024.

Norman mempamerkan prestasi menakjubkan untuk muncul juara di Eugene tahun lalu selepas sering mengalami kekecewaan, termasuk sekadar menduduki tempat kelima pada aksi final di Olimpik Tokyo.

"Malangnya saya tidak akan mempertahankan gelaran juara dunia saya pada Kejohanan Dunia 2023," kata Norman menerusi catatan di Instagram.

"Selepas musim yang sangat mengecewakan, saya memutuskan untuk melupakan seketika trek bagi baki musim 2023 kerana mahu menumpukan semula perhatian di Sukan Olimpik Paris 2024."

Norman hampir tidak bertanding tahun ini dan menarik diri daripada Grand Prix LA pada Mei lalu selepas menduduki tempat kelapan dalam acara 200m di Liga Berlian dekat Doha.

Pengumumannya itu menjejaskan harapan Amerika untuk mengungguli carta pungutan pingat sekali lagi selepas mendominasi saingan pada tahun lalu,

Sebelum ini, seorang lagi atlet Amerika, Sydney McLaughlin-Levrone turut menarik diri kerana mengalami kecederaan di lutut.

McLaughlin-Levrone, yang memecahkan rekod dunianya sendiri untuk memenangi acara 400m lari berpagar tahun lalu, pada awalnya dijangka bersaing dalam acara 400m.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 10:43 AM