Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media selepas merasmikan Pejabat Pasport Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media selepas merasmikan Pejabat Pasport Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia untuk memanjangkan tempoh sah laku pasport selama 10 tahun dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya sebelum ini pernah memaklumkan sudah menjalankan kajian dan libat urus berkenaan kesesuaian untuk melaksanakan perkara terbabit.

"Kita sudah bersedia mengeluarkan pasport untuk tempoh 10 tahun. Buat masa sekarang, tempoh sah laku pasport kita selama lima tahun.

"Ini (pasport dengan tempoh sah laku 10 tahun) bukanlah satu perkara baru. Negara jiran kita seperti seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura telah keluarkannya. Malah, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis juga mengeluarkan pasport dengan tempoh sah laku 10 tahun.

"Jadi kita sudah bersedia tapi tarikh pelaksanaannya itu kita akan umumkan supaya rakyat ada pilihan," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata pihaknya juga berbangga berikutan pasport antarabangsa Malaysia berada di tempat ke 12 di seluruh dunia dan menduduki tempat kelima di Asia.

"Ukuran reputasi atau kredibiliti sebuah pasport itu diukur berdasarkan berapa banyak negara boleh memberi pengecualian visa pasport kita.

"Siapa yang pegang dan gunakannya sebagai dokumen perjalanan boleh diberi pengecualian visa di hampir 183 buah negara. Ini berpandukan kepada indeks Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) 2024," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perasmian Pejabat Pasport bertempat di Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi.

Mengulas program hari ini, Saifuddin berkata pihaknya hari ini merasmikan pejabat pasport pertama di negara yang ditempatkan di dalam bangunan lapangan terbang.

"Kita meluncurkan pejabat pasport yang ke 72 di seluruh negara tetapi ini satu-satunya pejabat pasport yang terletak dalam bangunan lapangan terbang. Tahun lepas kira luncurkan satu (pejabat pasport) di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tapi premisnya berada di luar.

"Maksudnya ini yang ketujuh di Sabah. Sebelum ini kita ada di Kota Kinabalu, ibu pejabat Jabatan Imigresen (JIM) Kota Kinabalu, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Tawau, UTC Keningau, pejabat JIM Sandakan dan pejabat JIM Lahad Datu.

"Bila kita wujudkan satu lagi di sini, tentunya ia memberi manfaat kepada komuniti berhampiran meliputi daerah Papar, Penampang, Putatan dan Kota Kinabalu jadi ia memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat.

"Dengan adanya pejabat pasport ini membuktikan komitmen JIM untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat yang berurusan untuk mendapatkan dokumen perjalanan," katanya.

Disamping itu, beliau berkata di peringkat awal ini, operasi Pejabat Pasport KKIA hanya mengendalikan urusan permohonan dan memperbaharui pasport antarabangsa.

Katanya, urusan pengendalian pasport dan dokumen perjalanan lain termasuk permohonan secara dalam talian akan menyusul kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 8:26 PM