Norman kuatkan semangat dan masih meneruskan hubungan baik dengan adik beradik biarpun kumpulan sudah berpecah. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI/fail HM
Norman kuatkan semangat dan masih meneruskan hubungan baik dengan adik beradik biarpun kumpulan sudah berpecah. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI/fail HM
Rudy Imran Shamsudin


"PERBALAHAN itu biasa tapi kecil hati dan marah tidak ada," kata Datuk Norman Abdul Halim berhubung dakwaan wujudnya masalah dalaman KRU Music sehingga terpaksa membubarkan kumpulan KRU.

Pembubaran trio bertahan selama 25 tahun itu, ditubuhkan bersama dua adiknya, Yusry dan Edry diumumkan dalam sidang media konsert Gergasi KRU25, minggu lalu.

Norman meminta peminat tidak salah faham ketika dia menangis sewaktu mengumumkan pembubaran itu.

Norman ditemui pada majlis pelancaran Festival Music KL Jamm, hari ini menegaskan dia memang tidak dapat mengawal emosinya ketika itu.

"Waktu itu hati sebak. Saya ucap terima kasih kepada kedua ibu bapa dan peminat selama ini memberi sokongan yang baik kepada kami," katanya.

Norman menjelaskan pembubaran dilakukan hanya membabitkan kumpulan KRU namun kepentingan lain dalam syarikat ditubuhkan itu masih berjalan seperti biasa.

"Bagaimanapun hala tuju syarikat sudah banyak berubah. KRU Music akan melebarkan sayap sebagai syarikat penganjuran dan promoter konsert selepas ini.

"Pada waktu sama, Yusry dan Edry sudah mempunyai syarikat sendiri. KRU Music menjadi syarikat induk. Apa saja projek yang diperoleh membabitkan bidang penerbitan dan muzik akan dibahagikan kepada Yusry dan Edry," jelasnya.

Kata Norman lagi, dia akui kesibukan menguruskan syarikat dan perniagaan membuatkan dia jarang dapat bertemu Yusry dan Edry. Tambahan pula mereka turut sibuk dengan urusan syarikat masing masing.

"Kami memberi ruang biarpun sibuk dan kami bertemu bagi memastikan perjalanan konsert berlangsung awal Mei depan lancar.

“Ia juga secara tidak langsung merapatkan kembali hubungan antara kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 7:11 PM