KONTINJEN Kuala Terengganu ceria selepas muncul juara keseluruhan Kejohanan Balapan dan Padang MSST.
KONTINJEN Kuala Terengganu ceria selepas muncul juara keseluruhan Kejohanan Balapan dan Padang MSST.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Kontinjen Kuala Terengganu menebus kekalahan tahun lalu apabila memungut 25 emas, 27 perak dan 15 gangsa untuk muncul juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Terengganu (MSST) ke-46 di Trek Latihan Olahraga Majlis Sukan Negeri, baru-baru ini.

Kuala Terengganu turut menyapu bersih semua kategori membabitkan juara keseluruhan B-12, 15 dan B-18 tahun.

Naib juara milik Kuala Nerus (13-13-16) dan ketiga Besut (13-13-8).

Lebih manis, Noor Nasyriz Mazlan dari SMK Sultan Sulaiman (SMKSS) yang memperoleh tiga emas dinobat Olahragawan.

“Kejayaan kali ini cukup bermakna kerana kami merampas kembali juara keseluruhan daripada Kuala Nerus.

“Tiada rahsia di sebalik kejayaan ini selain berlatih setiap masa dan pencarian bakat baru berpotensi,” kata ketua kontinjen Kuala Terengganu Samsudin Ismail yang juga Pengetua SMKSS.

Menurutnya, pihaknya dalam persiapan menyertai Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Melaka, Jun ini dan mensasarkan 10 emas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 8:58 AM