GURU dan pelajar SMK Kunak serta SMK Sultan Sulaiman bergambar kenangan.
GURU dan pelajar SMK Kunak serta SMK Sultan Sulaiman bergambar kenangan.

Walaupun dipisahkan dengan Laut China Selatan, hubungan dua hala antara penduduk Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak sentiasa dipupuk agar semangat kekitaan dan ukhuwah sesama rakyat Malaysia kekal terpelihara.

Pelbagai usaha dan pendekatan dilaksanakan menerusi agensi tertentu bagi melahirkan rakyat bersatu hati.

Kementerian Pendidikan, misalnya, tidak pernah memandang remeh usaha menyemarakkan semangat integrasi nasional dalam kalangan pelajar melalui program pertukaran pelajar antara Sabah, Sarawak dengan sekolah di Semenanjung yang dilakukan saban tahun.

Ini kerana sekolah medan terbaik untuk memupuk dan me­nyuburkan nilai murni dalam kalangan generasi muda termasuk integrasi nasional.

Menyedari hakikat itu, dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Kunak (SMKK), Sabah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS), Kuala Terengganu melakukan jalinan mesra dalam usaha meniup semangat muhibah antara pelajar Sabah dengan Semenanjung.

Baru-baru ini, 17 pelajar dan dua guru dari SMK Kunak, Sabah menyertai program pertukaran pelajar selama seminggu dengan SMKSS. Kunjungan itu diketuai Qurina Sukiman, 29, yang disertai Burhanuddin Sirajuddin, 31, dan 17 pelajar.

Menurut Qurina, mereka sudah lama mahu datang ke Semenanjung bagi mengenali lebih dekat budaya dan bertukar-tukar pandangan dalam bidang pendidikan dengan rakan sejawatan.

“Alhamdulillah, akhirnya impian kami dimakbulkan. Kami berjaya juga mengadakan program pertukaran pelajar dengan SMKSS.

“Kami terharu kerana disambut dengan baik oleh warga SMKSS,” katanya ketika ditemui pada hari terakhir di SMK Sultan Sulaiman.

Sementara itu, Burhanuddin selaku Penolong Pengarah Program juga terharu dengan layanan yang diterima warga SMK Kunak.

“Terima kasih atas layanan baik selama seminggu di sini. Lebih mengujakan semua pelajar kami turut diundang berada dalam kelas bagi mengikuti sesi pembelajaran bersama pelajar SMKSS.

“Ini memberi impak positif dalam membina hubungan dua hala antara pelajar Semenanjung dan Sabah. Walaupun sebelum ini belum pernah berjumpa, menerusi aktiviti pertukaran pelajar ini, sedikit sebanyak benih-benih ikatan ukhuwah dapat dijelmakan,” katanya.

Pelajar Tingkatan 5 SMKK Erliana Mark mengakui dapat mengutip banyak pengalaman dan pengetahuan baru sepanjang berada di Terengganu.

“Saya bersama empat lagi rakan ditempatkan di Tingkatan 5 Arif mengikuti kelas pembelajaran harian.

“Secara peribadi, saya memuji pelajar sekolah ini yang sedikitpun tidak menganggap kehadiran kami mengganggu aktiviti pembelajaran mereka, sebaliknya kami dianggap seperti adik-beradik.

“Sikap saling membantu sesuatu yang sangat lazim di sekolah ini. Pada awalnya kami kekok untuk turut sama menyuarakan pendapat dalam sesi perbincangan mungkin kerana masih rendah diri.

“Peliknya, kawan-kawan baru di SMKSS tidak pula meminggirkan kami, malah mereka beria-ria mahukan kami turut aktif menghidupkan suasana pembelajaran dalam kelas,” katanya. -Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 5:02 AM