PEMAIN B-15 dan B-18 SMKSS bergambar bersama dengan jurulatih dan pengurus pasukan.
PEMAIN B-15 dan B-18 SMKSS bergambar bersama dengan jurulatih dan pengurus pasukan.

Kuala Terengganu: Kejohanan bola jaring Majlis Sukan Sekolah Daerah Kuala Terengganu minggu lalu menyaksikan dua pasukan dari SMK Sultan Sulaiman (SMKSS) berjaya menyapu bersih kategori Bawah 15 Tahun dan B-18.

Pada perlawanan akhir B-15, SMKSS membenam SMK Panji Alam 23-3 manakala pasukan ‘kakaknya’ tidak kurang hebat apabila menumpaskan SM Imtiaz Kuala Terengganu 13-4.

Pengurus SMKSS Munawarah Haron melahirkan rasa gembira ekoran kejayaan berganda yang diperoleh pasukan itu kali ini.

“Dua gelaran berganda ini adalah kerana tekad kami untuk menebuskan kekecewaan tahun lalu apabila kami hanya muncul juara B-15 saja. Jadi ternyata usaha keras semua pemain yang gigih berlatih di bawah bimbingan jurlulatih berwibawa Mardiana Mokhtar, Halawiah Mohamed dan Nurul Izzad Mohamad berbaloi.

“Kami juga bangga kerana sebahagian besar pemain SMKSS turut terpilih mewakili daerah Kuala Terengganu pada kejohanan MSST. Kami harap pemain yang akan bertanding pada kejohanan MSST itu mampu mempamerkan aksi terpuji,” katanya.

Sementara itu Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMKSS Mohd Zaki Omar berharap kejayaan pasukan bola jarring akan memberi motivasi kepada sukan lain yang sedang bertanding di peringkat daerah ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 5:36 AM