PASUKAN taekwando SKSS1 bersama trofi kejohanan.
PASUKAN taekwando SKSS1 bersama trofi kejohanan.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: SK Sultan Sulaiman 1 (SKSS1) mengulangi tradisi kejayaan apabila muncul juara keseluruhan empat tahun berturut-turut Kejohanan Taekwando Sekolah-Sekolah Malaysia (WTF), baru-baru ini.

SKSS1 mengungguli ketegori sekolah rendah dengan memungut 7 emas, 6 perak dan 9 gangsa mengenepikan SKSS2 (4 emas, 2 perak, 4 gangsa).

Manakala kategori sekolah menengah dikuasai pasukan SMK Sungai Limau, Kedah yang meraih 6 emas, 1 perak 6 gangsa. Naib juara milik SMK Taman Indera Wasih, Pulau Pinang (4 emas, 2 perak 1 gangsa) dan ketiga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut (4 emas, 1 perak, 6 gangsa).

Seramai 750 peserta daripada 300 buah sekolah rendah dan menengah seluruh negara mengambil bahagian.

Timbalan Presiden Taekwando Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong berkata, beliau berpuas hati dengan semangat dan prestasi cemerlang atlet taekwando negeri dalam usaha meraih pingat emas.

“Ternyata kerja keras semua pihak terutama ketua jurulatih negeri Mohamad Salihin Abdullah dalam membina pasukan taekwando negeri berbaloi.

“Saya harap kejayaan ini akan berterusan dan menjadi motivasi atlet pelapis negeri untuk turut melakar kejayaan pada kejohanan akan datang,” katanya.

Melihat sambutan yang menggalakkan, pihaknya bercadang menganjurkan kejohanan sama tetapi dinaik taraf sebagai Kejohanan Taekwando Sekolah-Sekolah Antarabangsa (WTF) di Stadium Tertutup, Gong Badak tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 10:40 AM