TAN TECK SIONG (tiga dari kiri) bersama guru dan pelajar bergambar dengan mural wajahnya di dinding gimanasium Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
TAN TECK SIONG (tiga dari kiri) bersama guru dan pelajar bergambar dengan mural wajahnya di dinding gimanasium Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Biasanya guru yang bersara diraikan dengan perarakan, tetapi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) mengambil pendekatan berbeza dengan melakar mural wajah guru itu di bangunan sekolah.

Wajah guru fizik yang juga jurulatih olahraga, Tan Teck Siong diabadikan di bangunan gimnasium sekolah sempena persaraannya pada Ogos lalu.

Tan yang berkhidmat selama 33 tahun berkata, sangat terharu dengan mural itu dan tidak sangka menerima penghargaan sebegitu daripada pelajar tingkatan enam.

"Ia satu penghargaan yang sangat besar kepada saya. Biasanya hanya pengetua yang menerima penghargaan seperti ini dan mempunyai gambar mural di bangunan sekolah, sedangkan saya hanya guru biasa sahaja dan rasa tidak layak untuk menerima penghargaan sebesar itu.

"Bagi saya cukup sekadar guru dan pelajar SMKSS dapat meneruskan legasi kejayaan sukan olahraga seperti dikecapi sebelum ini," katanya ketika ditemui di SMKSS di sini, hari ini.

Katanya, banyak kenangan manis sepanjang berkhidmat dan paling membanggakannya selaku jurulatih olahraga apabila dapat mengekalkan kejuaraan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Kuala Terengganu (MSSD) selama 23 tahun berturut-turut.

Selain itu, beliau juga penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) negeri sebanyak tiga kali, Anugerah Guru Unggul Exxonmobil 2015 dan dilantik sebagai jurulatih olahraga kebangsaan bagi Kejohanan Little Athletics Australia pada 2000.

Sementara itu, Pengetua SMKSS Wan Rohana Wan Mansor berkata, pihaknya bertindak mengabadikan wajah Tan sebagai menghargai jasanya kepada warga sekolah.

"Sikap, disiplin dan komited beliau dalam menjalankan tanggungjawab termasuk membawa kejayaan kepada sekolah menerusi olahraga perlu dicontohi dan dikenang sepanjang zaman.

"Sepanjang bergelar jurulatih olahraga, beliau kerap mengharumkan nama sekolah malah melahirkan atlet berbakat antaranya, ratu pecut negara Nik Nor Azura Nik Mahmood," katanya.

Menurutnya, 10 pelajar tingkatan enam terbabit projek melukis mural itu sejak 1 September lalu di bawah seliaan pengurus projek, Nurshuteena Nye Abdullah dan Guru Seni Visual Tingkatan Enam Mohd Firdaus Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 5:34 PM