ATLET SMKSS bergambar kenangan bersama pingat dan trofi dimenangi.
ATLET SMKSS bergambar kenangan bersama pingat dan trofi dimenangi.

Terengganu: Sekolah Menengah Sultan Sulaiman (SMKSS) masih gagal digugat apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Kuala Terengganu buat kali ke-20 berturut-turut, baru-baru ini.

Kejohanan lima hari yang masuk edisi ke-48 itu berlangsung di padang SMK Sultan Sulaiman dan disertai 26 sekolah menengah serta 51 sekolah rendah.

Berbekalkan kutipan keseluruhan 42 emas, 21 perak dan 10 gangsa, nyata SMKSS berada dalam kelas tersendiri. Lebih menggembirakan atlet SMKSS turut mengungguli anugerah Olahragawan dan Olahragawati kejohanan.

Syazwan Fiwat yang memecahkan rekod baru lontar peluru lelaki bawah 15 tahun dipilih sebagai atlet terbaik. Mardnasyaal-husna Mohd pula yang menyerlah dalam acara 100 dan 200m lari berpagar dipilih atlet perempuan terbaik.

Mengulas mengenai kejayaan gemilang SMKSS, PK Kokurikulum Mohd Zaki Omar memberitahu pencapaian mereka amat luar biasa dan sangat di luar jangkaan.

“Sememangnya kami sedar atlet sekolah lain turut membuat persiapan rapi bagi mencabar kami, namun kami gembira kerana atlet SMKSS tetap menyerlah,” katanya.

Tempat kedua disandang MSSDKT (Bukit Nenas) yang hanya memperoleh 7 emas, 2 perak dan 2 gangsa. Ketiga milik SMK Padang Negara dengan 4 emas, 5 perak dan 6 gangsa.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Jelani Sulong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 5:23 AM