SYAFIQ (kanan), Muaz (kiri) dinobatkan pasukan lelaki kebangsaan. -FOTO MSN
SYAFIQ (kanan), Muaz (kiri) dinobatkan pasukan lelaki kebangsaan. -FOTO MSN
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kejayaan memperoleh pasukan lelaki kebangsaan terbaik dalam Anugerah Sukan Negara (ASN) 2023 memberi suntikan semangat buat duo tenpin boling negara, Syafiq Ridhwan Abdul Malek dan Ahmad Muaz Mohd Fishol untuk terus melakar kejayaan dalam kejohanan akan datang.

Jelas Syafiq Ridwan, mereka tidak meletakkan apa-apa anugerah sebagai keutamaan sebaliknya memberi fokus lebih di dalam latihan serta kejohanan kerana dari situ, kejayaan dan penghargaan akan datang dengan sendirinya.

Oleh itu, dia dan rakan-rakan ingin memastikan skuad negara dapat meneruskan prestasi cemerlang di Kejohanan Tenpin Boling Asia 2024 di Bangkok, Thailand pada September ini.

"Tahun ini, kita mempunyai sasaran utama di Kejohanan Tenpin Boling Asia. Sebelum ini di Hong Kong dalam acara lelaki, kita dapat medal paling tinggi. Jadi kami harap kita dapat menjadi juara keseluruhan,"katanya.

Sementara itu, bagi Ahmad Muaz, kemenangan di ASN 2023 amat bermakna untuk mereka kerana anugerh itu adalah yang tertinggi di dalam negara.

Untuk rekod, ketika Kejohanan Tenpin Boling Asia di Hong Kong tahun lalu, gandingan mereka berdua bersama Mohd Syazirol Shamsudin, Tun Hakim Tun Hasnul Azam dan Timmy Tan berjaya menewaskan pesaing dari negara lain untuk mengguli kejuaraan berpasukan keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 5:31 PM