Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Biarpun pernah mencatat kenangan hitam apabila disamun dan dipenjara di Pakistan, ia tidak mematahkan semangat anak jati Kuala Lumpur ini untuk menjalankan perniagaan pelancongan di negara itu.

Mohd Zulhilmi A Karim, 36, yang berkelana di Islamabad sejak 2019 demi mencari sesuap nasi menyifatkan pada awalnya bukan mudah untuk menyesuaikan diri.

Bagaimanapun, Mohd Zulhilmi percaya dengan kata hati dan akhirnya 'jatuh cinta' dengan keindahan dan keramahan penduduk di negara terbabit.

"Bermula umur 16 tahun saya sudah dihantar keluarga untuk belajar agama di sebuah madrasah di Yaman.

"Beberapa tahun di sana, saya kemudian berhijrah ke Korea Selatan disebabkan mengikut sepupu yang sangat meminati muzik K-pop.

"Saya ikutkan saja dan pergi ke sana beberapa minggu, kemudian berubah menjadi bulan dan akhirnya bertahun," katanya kepada Harian Metro.

Mohd Zulhilmi mengakui bukan mudah mencari sesuap nasi di negara orang kerana perlu melalui pelbagai cabaran, namun langkah pertama yang perlu dilakukan oleh sesiapa saja yang mahu memulakan hidup di negara asing adalah berkunjung ke masjid.

Katanya, dia pernah meringkuk dalam penjara selama dua bulan kerana visa tamat tempoh di Pakistan akibat ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

"Kejadian bermula apabila saya ingin memperbaharui visa, tetapi malangnya perkara sebaliknya pula berlaku.

"Selepas menunggu beberapa hari, telefon bimbit pula hilang dan ia betul-betul membuatkan saya rasa tertekan," katanya.

Menurutnya, dia cuba untuk mendapatkan kepastian mengenai visa berkenaan, tetapi lain pula yang jadi apabila ditahan dan dimasukkan ke penjara.

"Tanpa sebab atau alasan, saya dihukum penjara selama dua bulan atas kesalahan visa tamat tempoh. Ketika itu perasaan marah memang membuak-buak terhadap orang Pakistan, tetapi mujur saya berpegang kepada nasihat ustaz yang saya kenali.

"Katanya, sikap dan tingkah laku seseorang bukan cerminan agama yang mereka anuti. Islam agama suci dan mendidik umatnya untuk saling melindungi antara satu sama lain dan bukan mengkhianati," katanya.

Selain itu, ustaz berkenaan turut menasihatkan supaya memaafkan individu yang berbuat jahat dan jangan sesekali menyimpan dendam di dalam hati.

Katanya, ketika ini dia berdepan masalah untuk memperbaharui visa berikutan pasport antarabangsanya hilang selepas rumahnya dipecah masuk dan akan meminta bantuan Kedutaan Malaysia di Pakistan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 5:31 PM