ZII JIA bergambar bersama trofi kejuaraan selepas muncul juara Terbuka Australia. -FOTO AFP
ZII JIA bergambar bersama trofi kejuaraan selepas muncul juara Terbuka Australia. -FOTO AFP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia berjaya menambah koleksi kejuaraan kali kedua dalam masa dua bulan apabila menewaskan pemain nombor enam dunia dari Jepun, Kodai Naraoka di final Terbuka Australia, sebentar tadi.

Aksi final perseorangan lelaki itu berlangsung dengan penuh dramatik apabila pemenang terpaksa ditentukan melalui permainan tiga set dengan kemenangan memihak kepada wakil negara, 21-19, 11-21, 21-18 dalam masa 77 minit.

Zii Jia yang juga pilihan ketiga kejohanan bermain dengan baik dan tidak banyak melakukan kesilapan mudah bagi mendahului di awal permainan.

Di set ketiga, kedua-dua pemain terus meningkatkan intensiti permainan apabila di awal permainan bermain begitu agresif. Ketika kedudukan 11-11, Zii Jia berjaya mengambil kesempatan meraih enam mata berturut-turut.

Kemenangan itu membolehkan Zii Jia meneruskan rentak kemenangan ke atas Kodai meraih tiga kemenangan dari enam pertemuan.

Untuk rekod, ini adalah final ketiga Zii Jia tahun ini di mana dia berjaya muncul juara di Terbuka Thailand dan naib juara Masters Malaysia.

Momentum ini pasti memberi satu perkembangan positif dan meningkatkan lagi keyakinan buat pemain perseorangan negara itu untuk menghadapi Olimpik Paris yang akan bermula bulan hadapan.

Selaku juara, Zii Jia membawa pulang hadiah wang tunai AS$31,500 (RM148,069) manakala Naraoka memperoleh AS$15,960 (RM75,022) selaku naib juara pada kejohanan berstatus Super 500 itu.

Sementara itu kemenangan di set pertama tidak mampu membantu beregu wanita negara, Lai Pei Jing-Lim Chiew Sien untuk bergelar juara beregu wanita apabila tewas kepada pasangan Indonesia Dwipuji Kusuma dan Amallia Cahaya Pratiwi di pentas akhir.

Dalam perlawanan itu, Pei Jing-Chiew Sien yang berada di ranking ke-19 dunia bermula cemerlang namun Dwipuji Kusuma-Cahaya Pratiwi melakukan kebangkitan untuk menang 21-12, 7-21, 13-21 dalam 73 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 5:16 PM