MUHAMMAD Danish  memenangi PROTON X50 pada acara cabutan bertuah sempena TMM2024. FOTO Amir Mamat
MUHAMMAD Danish memenangi PROTON X50 pada acara cabutan bertuah sempena TMM2024. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Ayer Keroh: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Itulah rezeki remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memenangi Proton X50 pada acara cabutan bertuah edisi khas Malaysia Bike Week Melaka 2024 sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), hari ini.

Muhammad Danish Russidi, 18, dari Bukit Raja, Klang, Selangor diumumkan pemenang utama dan membawa pulang kereta berharga lebih RM90,000.

Ketika ditemui, beliau menyifatkan hadiah berkenaan adalah rezekinya sekeluarga yang dianggap hadiah sempena hari raya korban, esok.

"Alhamdulillah, saya baru lulus untuk mendapatkan lesen memandu bulan lalu dan hadiah ini pula menyusul, saya rasa sangat bertuah.

"Hadiah ini juga saya anggap sebagai habuan selepas mendapat keputusan baik pada SPM lalu. Berkat doa ibu bapa dan perkenan dari Allah, saya memperoleh hadiah yang tidak pernah saya impikan," katanya.

Hadiah disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada majlis yang diadakan pada hari terakhir Malaysia Bike Week Melaka 2024 di sini hari ini.

Sempena cabutan bertuah TMM2024 edisi khas itu, Ab Rauf turut menyampaikan 10 motosikal pelbagai jenama kepada pemenangnya.

Beliau turut mengumumkan cabutan yang sama akan diadakan sempena Karnival Jom Heboh pada 28 hingga 30 Jun ini, selain Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia (Julai) dan Melaka Explorace (Ogos).

Orang ramai hanya perlu membeli cenderahati TMM2024 di beberapa lokasi tumpuan pelancongan di sekitar Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 5:46 PM