CHONG Wei ditemuramah petugas media sebelum menjalani latihan di Stadium Juara Bukit Kiara, semalam.
CHONG Wei ditemuramah petugas media sebelum menjalani latihan di Stadium Juara Bukit Kiara, semalam.
Oleh Saiful Affendy Sapran dan Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Selepas sekian lama menanti, Datuk Lee Chong Wei amat berharap keputusan Panel Pendengaran Doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang mendengar kes doping membabitkan dirinya pada 11 April menyebelahinya.

Bekas pemain nombor satu dunia itu semalam menghela nafas lega kerana penantiannya sudah berakhir apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan tarikh perbicaraan itu.

“Tarikh perbicaraan sudah ditetapkan, saya tidak boleh buat apa-apa kecuali mengharapkan keputusan yang bagus,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Ikon badminton negara itu didapati positif menggunakan bahan terlarang dexamethasone ketika menyertai Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen Ogos tahun lalu.

“Saya memang berasa sedikit lega kerana sebelum ini banyak tanda tanya mengenai tarikh itu, tapi sekarang kita harap semua sudah sedia.

“April memang bulan sangat penting buat saya dan harap akan mendapat keputusan yang bagus. Sekarang saya hanya berlatih seperti biasa dan fokus terhadap latihan,” kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London).

Ditanya bagaimana dia akan melupakan perkara itu, Chong Wei berkata, mahu menunggu keputusan terlebih dulu.

“Bagaimanapun, dalam tempoh lima bulan yang saya lalui ternyata bukan mudah. Pada bulan pertama saya langsung tidak boleh menerima gagal ujian doping.

“Saya sudah menyertai banyak kejohanan dan belum pernah gagal ujian doping. Kini sudah tentu peminat badminton menunggu saya kembali ke gelanggang dan jika bebas, saya janji akan memberikan yang terbaik,” katanya yang tidak akan ditemani isteri Wong Mew Choo ke Amsterdam kerana hamil lima bulan.

Menurutnya, dia akan diiringi Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria serta pengurus besar BAM Kenny Goh selain peguam Mike Morgan di Belanda.

“Mereka sudah bekerja keras dan kami kini mahu kes itu diselesaikan secepat mungkin, terutama kerana kelayakan ke Sukan Olimpik 2016 Rio akan bermula Mei,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 7:34 AM