LOUIS dan Eleanor sah berpisah.
LOUIS dan Eleanor sah berpisah.
Susunan Georgie Joseph


Ketika sibuk dengan konsert jelajah dunia, One Direction tidak putus dengan musibah peribadi.

Terbaru, hubungan salah seorang anggotanya, Louis Tomlinson, 23, dengan kekasih Eleanor Calder disahkan putus.

Menurut jurucakap One Direction, hubungan Louis dan Eleanor putus sejak dua minggu lalu.

“Mereka tidak mahu mengumumkannya kerana tidak mahu privasi mereka diganggu,” katanya.

Status hubungan mereka menjadi tanda tanya apabila gambar Louis berkucupan dengan wanita lain di Bangkok, Thailand tersebar baru-baru ini.

Penyanyi itu dikatakan sedang berparti dan berseronok di Thailand sewaktu foto berkenaan dirakam­kan manakala Eleanor pula tidak mahu memberi sebarang komen terhadap status mereka.

Sejak mula bercinta pada 2011, mereka dilabel sebagai pasangan ideal dan hubungan itu turut menjadi ikutan jutaan peminat boyband berkenaan di seluruh dunia.

Meskipun Eleanor sendiri menerima lebih banyak kutukan daripada peminat, namun ia tidak menggugat langsung percintaan mereka.

“Louis sangat kecewa dengan perpisahan itu. Mereka sudah cuba sedaya-upaya untuk memastikan hubungan berkenaan bertahan namun terpaksa berjauhan selama sembilan bulan menyukarkan mereka,” kata seorang sahabat terdekat Louis.

Pastinya berita itu memberi tekanan kepada One Direction kerana sebelum ini seorang lagi anggotanya, Zayn Malik, 22, didakwa bertindak curang terhadap tunangnya, Perrie Edwards, 21.

Akibat tertekan, Zayn mengambil keputusan untuk tidak menyertai konsert One Direction di Filipina dan pulang ke London bagi menenangkan dirinya.

One Direction kini berada di Asia untuk konsert jelajah mereka dan peminat nampaknya sangat berharap Zayn kembali me­nyertai rakannya dalam konsert di Jakarta, Indonesia, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 1:48 PM