Louis Tomlinson
Louis Tomlinson
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi juga anggota One Direction, Louis Tomlinson, 32, akan mengadakan persembahan julung kali di Malaysia untuk konsert solonya Faith In The Future World Tour 2023 pada 26 April nanti di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Tomlinson turut berkongsi kegembiraannya kembali mengadakan siri jelajah dunia dan singgah di beberapa lokasi di benua ini.

"Saya sangat teruja untuk kembali ke Asia jayakan siri persembahan ini pada April. Saya tidak sabar untuk bertemu kamu semua semula pada tahun ini," tulisnya di Instagram.

Tomlinson mencipta fenomena sebagai anggota One Direction atau 1D pada sekitar 2010.

Bakat kumpulan itu dicungkil daripada program realiti The X-Factor pada 2009 dan digilai sehingga kini.

Pada 2016, Tomlinson dan anggota lain 1D termasuk Harry Styles, Niall Horan dan Liam Payne memutuskan untuk menyepi sebagai kumpulan.

Ia susulan penarikan diri bekas anggotanya Zayn Malik pada 2016.

Pada 2020, penyanyi ini melancarkan album solo sulungnya berjudul Walls.

Tahun lalu, dia kemudian melancarkan album Faith in the Future dan kini dalam rangka siri promosinya.

Konsert terbabit dibawakan Live Nation Malaysia dan penjualan tiket akan dibuka pada 14 Februari ini, jam 10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 7:20 PM