ONE Direction menang Artis Terbaik dua tahun berturut-turut.
ONE Direction menang Artis Terbaik dua tahun berturut-turut.
Susunan Georgie Joseph

Acara berprestij American Music Awards 2015 (AMA2015) yang berlangsung di Microsoft Theatre in Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) semalam bukan saja meriah, tetapi juga medan pertarungan emosi selain detik manis setiap pemenang.

Bukan saja dihadiri ‘superstar’ masa kini yang memonopoli carta muzik, artis senior turut memeriahkan pentas antaranya diva bervokal hebat, Celine Dion dan Gwen Stefani yang membuat penampilan dengan persembahan mengagumkan.

Berbanding anugerah lain yang melantik muka baru untuk mengemudikan acara, AMA2015 pula menampilkan penyanyi seksi, Jennifer Lopez atau JLo sebagai hos kali ini.

Apa yang pasti, kumpulan One Direction terus unggul apabila memenangi kategori Artis Terbaik kali kedua berturut-turut.

Kumpulan yang dianggotai Niall Horan, Louis Tomlinson, Liam Payne dan Harry Styles itu turut membawa pulang trofi Artis Berkumpulan/Duo Pilihan - Pop/Rock.

Kemenangan mereka dalam kategori Artis Terbaik pastinya melonjakkan lagi reputasi One Direction apabila mereka menewaskan nama besar seperti Taylor Swift, Ariana Grande, Sam Smith, Ed Sheeran, Meghan Trainor, Maroon 5, Nicki Minaj, The Weeknd dan Luke Bryan.

Sokongan peminat terhadap mereka juga terus kukuh meskipun seorang anggotanya, Zayn Malik mengambil keputusan keluar daripada One Direction sebelum ini.

Mencipta rekod jualan menerusi album terbaru berjudul Made in the A.M yang dilancarkan minggu lalu, legasi mereka jelas belum tergugat.

“Ini sesuatu yang sangat luar biasa untuk menerima anugerah ini bagi dua tahun berturut-turut! Ia juga membuktikan peminat kami sememangnya yang terbaik!”.

“Kami tidak sangka akan menang lagi dan terima kasih kepada semua yang menyokong kami selama ini. Terima kasih terutama kepada keluarga kami serta AMA sendiri yang banyak memberi kami kenangan manis,” kata mereka ketika menerima trofi itu.

Turut unggul, Taylor Swift yang memenangi tiga kategori iaitu Lagu Terbaik dengan lagu Blank Space, Album Pilihan - Pop/Rock dan Artis Pilihan - Kontemporari Dewasa.

Swift mencipta rekod luar biasa apabila hampir semua lagu dalam album kelimanya berjudul 1989 yang dipasarkan tahun lalu meledak!

Penyanyi rap wanita, Nicki Minaj pula membuktikan dia belum dapat ditandingi dengan kemenangan dua trofi menerusi kategori Artis Pilihan- Rap/Hip-Hop dan Album Pilihan - Rap/Hip-Hop.

Menjadi tarikan dan perbualan tentunya persembahan daripada penghibur pelbagai lapisan generasi. Beberapa momen indah tercipta apabila masing-masing meninggalkan impak sendiri di pentas.

Celine Dion memukau penonton dengan vokalnya menerusi persembahan ‘tribute’ kepada insiden serangan pengganas di Paris, Perancis, baru-baru ini.

Menyanyikan Hymne L’Amour, nyanyian Celine me­nyentuh hati sehingga ada dalam kalangan penonton menitiskan air mata.

Dua pendatang baru iaitu Meghan Trainor dan Charlie Puth yang cukup meledak dengan lagu Marvin Gaye ketika ini pula meninggalkan teka-teki selepas aksi mengejut mereka berkucupan di atas pentas.

Apa tujuan mereka? Dan itu menimbulkan banyak tanda tanya.

Turut menghangat­kan pentas pada edisi kali ini ialah Selena Gomez, Justin Bieber, Gwen Stefani, Pentatonix, Ariana Grande, One Direction, Jlo, Shawn Mendes, Demi Lovato, Alanis Morissette, Coldplay, Macklemore & Lewis dan Carrie Underwood.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 11:49 AM