FIFTH Harmony antara yang menang besar selain One Direction.
FIFTH Harmony antara yang menang besar selain One Direction.
Susunan Georgie Joseph

Biarpun hanya tinggal berempat selepas Zayn Malik berundur, ‘boyband’ fenomena One Direction kekal unggul dan menang besar di Teen Choice Awards 2015, semalam.

Berlangsung gilang-gemilang di USC Galen Center, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), acara berkenaan adalah bagi mengiktiraf bintang muda dalam bidang muzik, filem dan TV.

Bagaimanapun, One Direction yang menggondol lapan anugerah tidak dapat hadir kerana sibuk dengan konsert jelajah.

Kumpulan dianggotai Harry Styles, Niall Horan, Louis Tomlinson dan Liam Payne ini memenangi kategori Kumpulan Muzik Pilihan: Artis Lelaki; Single Muzik Pilihan: Kumpulan; Muzik Pilihan: Lagu Cinta; Bintang Muzik Musim Panas Pilihan: Kumpulan; Siri Jelajah Musim Panas Pilihan; Fesyen Pilihan: Lelaki Hottie; Muzik Pilihan: Lagu Parti dan Pengambil Selfie Pilihan.

Turut menyerlah dalam kategori muzik adalah Fifth Harmony yang semakin popular dengan lagu Worth It.

Kumpulan dianggotai lima gadis itu membawa pulang trofi Lagu Musim Panas Pilihan, Fesyen Pilihan: Wanita Hottie dan Muzik Pilihan: Artis Wanita.

Dalam kategori TV, drama Pretty Little Liars membawa pulang trofi TV Pilihan: Drama, manakala drama Empire pula mengetepikan program hebat lain apabila dianugerahkan trofi TV Pilihan: Program Harapan.

Antara bintang drama yang terus menonjol dan masih jadi pilihan termasuk bintang utama The Vampire Diaries, Nina Dobrev. Pelakon terbabit menerima trofinya yang terakhir untuk drama kegilaan ramai suatu ketika dulu itu.

Bagi filem pula, filem sains fiksyen The Hunger Games: Mockingjay Part 1 menjadi pilihan memenangi beberapa anugerah termasuk Filem Pilihan: Sains Fiksyen/Fantasi, manakala filem muzikal popular Pitch Perfect 2 menggondol trofi Filem Pilihan: Komedi.

Turut dikenang dan masih dirindui, mendiang Paul Walker yang membintangi Furious 7 memenangi trofi Aktor Filem Pilihan: Aksi selain filem terbabit turut diangkat sebagai pemenang Filem Pilihan: Aksi.

Sementara itu, Britney Spears dianugerahkan trofi Ikon Stail Pilihan berikutan pencapaian sepanjang hayatnya dalam industri muzik dan fesyen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 12:16 PM