ONE Direction kini tinggal berempat.
ONE Direction kini tinggal berempat.
Susunan Georgie Joseph


Jutaan peminat boyband terkenal One Direction pastinya masih terkejut apabila anggotanya, Zayn Malik akhirnya mengumumkan keluar daripada kumpulan itu selepas lima tahun bersama.

Jejaka berusia 22 tahun itu mengambil keputusan berkenaan sebaik tiba di London baru-baru ini apabila bertindak meninggalkan konsert jelajah mereka yang masih berlangsung di Asia ketika ini.

Terdahulu, Zayn gagal menangani perasaannya akibat tertekan dan pulang ke London untuk menyelesaikan hal peribadi serta tidak menyertai empat lagi rakannya menjayakan konsert di Filipina.

Semua itu gara-gara gambarnya bersama wanita tidak dikenali tersebar sewaktu konsert mereka di Bangkok, Thailand membuatkan dia terpaksa mengambil keputusan bagi mempertahankan hubungan bersama tunangnya, Perrie Edwards.

Ketika peminat masih berharap dia akan kembali menjayakan baki konsert berkenaan, sebaliknya perkhabaran terbaru itu semestinya meranapkan impian mereka.

Zayn menyifatkan dunia glamor bukan untuknya dan mahu menjalani kehidupan peribadi­nya dengan lebih tenang.

“Perjalanan saya bersama One Direction adalah sesuatu yang saya sendiri tidak pernah jangka. Namun, selepas lima tahun saya rasa sekarang adalah waktu paling tepat untuk saya meninggalkan band itu.

“Saya minta maaf jika keputusan ini mengecewakan anda, tetapi saya perlu melakukan sesuatu yang betul mengikut kata hati.

“Saya keluar kerana saya mahu kembali menjadi seorang lelaki normal berusia 22 tahun yang boleh hidup tenang dan ada privasi,” katanya.

Zayn turut menyifatkan empat lagi anggota One Direction iaitu Louis, Liam, Harry dan Niall akan sentiasa menjadi rakan sejatinya dan dia mereka mampu terus menjadi boyband terbaik dunia.

Tentu sekali berita itu satu tamparan buat anggota lain, namun mereka menghormati keputusan Zayn dan berjanji akan terus menghidupkan band terbabit.

“Kami memang terlalu sedih dengan pemergian Zayn, tapi sa­ngat menghormati keputusannya dan akan sentiasa menyokongnya pada masa depan.

“Lima tahun bersamanya satu pengalaman luar biasa, kami berkongsi suka-duka bersama, dan semestinya akan terus berkawan sampai bila-bila.

“Apapun, kami berempat masih akan teruskan perjuangan. Kami sudah tidak sabar untuk proses rakaman album seterusnya serta berjumpa dengan peminat di pentas siri jelajah seluruh dunia,” kata mereka.

Menjadi antara orang penting yang memastikan kerjaya One Direction di kemuncak selama ini, Simon Cowell mengakui sangat bangga dengan Zayn meskipun turut bersedih.

“Saya mahu berterima kasih dengan Zayn untuk semua yang dia lakukan untuk One Direction. Sejak pertama kali bertemunya pada 2010, saya makin yakin dan bangga dengannya.

“Saya lihat sendiri keyakinan dalam dirinya semakin meningkat dan benar-benar sedih dengan pemergiannya. Namun buat One Direction sendiri, saya jamin peminat pasti akan terus melihat kehebatan mereka selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 11:33 AM