ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa dari lori yang terjunam ke dalam gaung.
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa dari lori yang terjunam ke dalam gaung.
Oleh Syazwan Msar


Kuala Lipis: Dua maut masing-masing pemandu kereta dan lori selepas dua kenderaan terbabit bertembung di Kilometer 51, Jalan Lipis-Merapoh, dekat sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira- kira 4.30 pagi itu menyebabkan pemandu kereta, S Thamodharan, 37, dari Ketereh, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

Seorang lagi yang maut adalah pemandu lori,Yusri Ibrahim, 48, berasal dari Kampung Kundur, Gua Musang, Kelantan, berikutan kenderaannya hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian berlaku apabila kereta dipandu Thamodharan yang dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke Merapoh dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung pula dengan lori dipandu Yusri.

"Akibatnya, lori yang membawa muatan kelapa sawit terbabas ke kiri jalan lalu terjunam ke dalam gaung manakala kereta berkenaan hancur bahagian depan," katanya, ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, Thamodharan tersepit di bahagian pemandu sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat yang tiba kira-kira 20 minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 5:59 PM