Oleh Shahrul Nizam Mohamad

am@ hmetro.com.my

Kuala Lipis: Seramai 30 penumpang menempuh detik cemas selepas bas ekspres dinaiki terbabas dan bertembung dengan kereta di Kilometer 35 Jalan Kuala Lipis-Merapoh, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 1.20 pagi itu, enam penumpang mengalami kecederaan manakala 24 lagi tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, ketika kejadian, bas berkenaan dalam perjalanan ke Kelantan dari Seremban.

"Pemandu bas itu dipercayai gagal mengawal kenderaan dipandu sebaik tiba di laluan selekoh sebelum terbabas dan bertembung dengan kereta," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, polis akan bertemu pemandu bas itu untuk menjalani ujian air kencing bagi memastikan sama ada lelaki terbabit memandu di bawah pengaruh dadah atau sebaliknya.

"Siasatan lanjut masih diteruskan berhubung kejadian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 11:20 AM